BN Perak umum pembentukan kerajaan negeri  - Utusan Malaysia

BN Perak umum pembentukan kerajaan negeri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak mengumumkan telah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sebentar tadi. 

Ia dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir yang dibacakan Pengarah Komunikasi dan Korporat Pejabat Menteri Besar, Nizamuddin Mat Isa. 

Katanya, tiada parti yang bertanding memperolehi jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang diadakan kelmarin. 

“BN memperolehi 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala beberapa parti yang bertanding dibawah PKR memenangi 29 sementara Pas pula mendapat tiga kerusi. 

“Sukacita dimaklumkan, BN telah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri Perak,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi. 

Nizamuddin bagaimanapun tidak memaklumkan mengenai kerusi yang diperolehi BN itu bagi mendapatkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri. 

Tambahnya, BN akan memohon untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah bagi menyembah maklum mengenai kedudukan terkini serta mendapatkan perkenan baginda untuk membolehkan kerajaan negeri bagi Penggal ke-14 dibentuk sesuai dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. 

Terdahulu, pada petang semalam, Pas memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan BN untuk bergabung bagi membentuk sebuah kerajaan campuran di Perak.

Perbincangan tersebut seakan-akan memberi petunjuk awal untuk kedua-dua parti itu bergabung untuk membentuk kerajaan campuran di negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×