PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang berlangsung pada Rabu lalu menyaksikan peristiwa mengejutkan dalam lipatan sejarah politik Malaysia apabila Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara selama 61 tahun tewas kepada Pakatan Harapan (PH).
PH terbentuk daripada satu pakatan yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Kemenangan tersebut menyaksikan peralihan kuasa berlaku apabila PH memenangi majoriti mudah daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. BN yang ditunjangi UMNO memenangi 79 kerusi Parlimen.
PRU-14 yang dianggap sebagai Bapa Segala Pilihan raya juga menyaksikan sebanyak lima negeri yang sebelum ini ditadbir BN iaitu Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan kubu kuat BN, Johor dikuasai PH sementara Terengganu dirampas oleh Pas.
Bukan itu sahaja, seramai lapan menteri termasuk dua yang memegang jawatan presiden MIC dan presiden MCA serta 19 timbalan menteri juga tidak dapat memenangi hati rakyat dalam PRU-14 apabila tewas di kawasan masing-masing.
Lapan menteri tersebut ialah Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Datuk Seri Mah Siew Keong, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Skandal
Kejatuhan BN dalam PRU-14 membuktikan rakyat di negara ini menggunakan hak masing-masing untuk memilih tampuk kerajaan baharu menggantikan BN selepas suara ketidakpuasan hati mereka seolah-olah tidak didengari kepimpinan kerajaan BN.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir, terdapat beberapa isu seperti kos sara hidup, skandal rasuah dalam kalangan pimpinan parti dan penyalahgunaan kuasa menjadi antara indikator kepada kekalahan BN.
Katanya, gelombang tsunami rakyat tanpa mengira kaum dari bandar dan luar bandar telah menumbangkan BN ekoran daripada dasar dan langkah pemimpin tertinggi negara sebelum ini yang dilihat mengutamakan diri sendiri dan tidak mementingkan rakyat sehingga menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.
“Antara skandal besar yang menyebabkan rakyat betul-betul marah ialah 1Malaysia Development Berhad, Felda dan penyalahgunaan kuasa.
Tumbang
“Selain itu, isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membangkitkan kemarahan kerana secara realitinya ia memberi bebanan sehingga menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika dihubungi Jurnal semalam.
Beliau memberitahu, kemenangan pakatan pembangkang itu turut didorong oleh peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerajui PH dalam menumbangkan BN.
“Titik tolaknya adalah apabila Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk bekerjasama dan sanggup mengetepikan segala sejarah silam mereka hanya untuk memastikan pembangkang dapat menumbangkan BN.
“Pemilihan Mahathir walaupun dipertikaikan oleh BN dan pihak tertentu tetapi ternyata kewibawaan dan pengalamannya mentadbir negara ini ke satu tahap yang membanggakan satu ketika dahulu menyebabkan rakyat yakin.
“Pilihan rakyat adalah antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Mahathir, jadi ternyata rakyat memilih Mahathir sebagai orang paling layak untuk meneraju Malaysia,” katanya.
Jelasnya lagi, kekalahan BN dalam PRU-14 juga mengejutkan hampir semua penganalisis politik yang tidak menjangkakan perkara itu berlaku.
“Kubu kuat BN di Johor iaitu negeri UMNO diasaskan tumbang dan itu adalah perkara yang kita tidak terfikir ia terjadi. Ia bermaksud UMNO itu adalah sebuah parti yang bermasalah besar kerana pemimpinnya bermasalah.
“Rakyat mahu pembaharuan keluar daripada cengkaman dan kongkongan UMNO kerana UMNO itu dianggap sebagai liabiliti sehingga parti-parti lain (komponen) terpalit sama,” ujarnya.
Tsunami rakyat
Selain itu, media sosial juga, katanya, memainkan peranan penting kepada kejayaan PH dalam PRU-14 terutamanya ucapan terakhir Mahathir di Langkawi, Kedah yang disiarkan secara langsung mendapat sambutan amat baik daripada rakyat di seluruh negara.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed menyifatkan kekalahan BN disebabkan oleh tsunami Melayu yang bangkit untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan dasar kerajaan yang membawa kepada kos sara hidup yang tinggi.
“Kita tidak pernah melihat tsunami Melayu sejak sekian lama, dan hari ini kita melihat kuasa yang secara tradisinya kubu kuat UMNO dan BN kini berada di bawah kawalan PH. Ini kerana kos sara hidup yang tinggi adalah satu isu yang sangat dekat dengan hati penduduk terutama orang Melayu di luar bandar.
“Rakyat di luar bandar merasai kesengsaraan, penderitaan dan menghadapi kesukaran. Sebab itulah mereka mahu menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa isu-isu ini perlu diselesaikan dengan teliti dan cekap,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohamad kepada pemberita baru-baru ini berkata, pemimpin UMNO dilihat sekadar bercakap kepada jentera parti mereka ketika turun padang berbanding mendengar masalah dihadapi rakyat di akar umbi.
“Saya memang sudah jangka kehilangan beberapa kerusi tetapi bukan hilang kerajaan. Ini memang sesuatu di luar jangkaan.
“Mungkin kita terlalu bergantung kepada parti, hanya bekerja untuk orang kita sendiri termasuk ketika berkempen. Kita lupa ketika pilihan raya umum, ia bukan soal UMNO sahaja. Kita gagal memenangi hati rakyat,” katanya.










