Berbilion kes deman denggi dunia boleh dielakkan - Utusan Malaysia

Berbilion kes deman denggi dunia boleh dielakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 29 Mei – Lebih tiga bilion kes demam denggi boleh dielak sekiranya pemanasan global dapat dikurangkan sebanyak 1.5 darjah celsius.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), demam denggi bawaan nyamuk Aedes itu boleh menyebabkan kematian jika ia berkembang kepada bentuk haemoragik yang teruk dan jumlah kes tahunan direkodkan meningkat dalam tempoh 50 tahun lalu.

Dengan menggunakan mo­del komputer, kumpulan pengkaji Universiti East Anglia di Britain mendapati penurunan suhu pemanasan global kepada dua darjah celsius mampu mengurangkan kes demam denggi di Amerika Latin dan Caribbean sehingga 2.8 juta kes menjelang akhir abad ini.

Selain itu, setengah juta kes lagi dapat dielakkan jika suhu pemanasan global diturunkan kepada 1.5 darjah celsius dan bahagian Amerika Selatan bakal memperoleh manfaat daripada perubahan tersebut.

Ketua pengkaji, Felipe Coln-Gonzlez berkata, tahap kebimbangan mening­kat tentang potensi impak perubahan iklim terhadap kesihatan manusia.

“Ini merupakan kajian pertama yang dilakukan untuk me­nunjukkan pengurangan suhu pemanasan dari dua kepada 1.5 darjah celsius boleh mendatang­kan faedah kesihatan yang penting,” katanya.

Berdasarkan laporan Lancet pada Oktober lalu, sejak tahun 2000, perubahan iklim me­ngancam kesihatan manusia melalui bahang panas, penularan penyakit bawaan nyamuk dan kes kekurangan nutrisi ke­rana kemusnahan tanaman.

Ketika ini, usaha dunia mengurang pelepasan gas karbon dioksida kini menjadikan kadar pemanasan global berada pada paras tiga darjah celsius, masih jauh daripada sasaran iaitu dua darjah celsius ditetapkan dalam persidangan di Perancis pada 2015.

WHO juga sebelum ini menganggarkan 250,000 kematian antara tahun 2030 dan 2050 kerana perubahan iklim.

Kira-kira 390 juta penduduk di seluruh dunia dijangkiti demam denggi setiap tahun dengan anggaran sebanyak 54 juta kes dicatatkan di Amerika Latin dan Caribbean.

Sehingga kini, tiada penawar ditemukan bagi denggi dan pakar perubatan berpendapat bahawa pengesanan awal dan jagaan rapi dapat mengurangkan jangkitan serta kadar kematian berkaitannya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN