Bekas guru KAFA didakwa 20 pertuduhan mencabul kehormatan 10 murid - Utusan Malaysia

Bekas guru KAFA didakwa 20 pertuduhan mencabul kehormatan 10 murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Seorang bekas guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini hari ini atas 20 pertuduhan mencabul kehormatan dan merangsang 10 murid lelaki di sebuah sekolah agama integrasi, sejak 2014.

Mohd. Farid Yusof, 31, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin. 

Mengikut 18 pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kekerasan jenayah iaitu mencabul kehormatan sembilan murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun ketika kejadian. 

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara Februari 2014 dan April 2017 di tujuh lokasi berlainan iaitu di bilik guru lelaki, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan di tiga buah kelas berlainan di sekolah rendah agama integrasi di Bangi.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi dua pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau iaitu merangsang dua kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian berusia antara 10 dan 11 tahun termasuk seorang mangsa yang dicabul. 

Dia didakwa mengikut 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu masing-masing eeantara September 2015 dan November 2016 di bilik guru lelaki di sekolah sama. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dia dilarang mendekati kesemua mangsa sehingga kes selesai. 


Mahkamah turut menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×