LONDON, United Kingdom 23 Mei – Unai Emery mengesahkan beliau bakal menggantikan Arsene Wenger sebagai pengurus baharu Arsenal menerusi satu mesej dalam laman web rasminya hari ini.
Imej Emery bersebelahan logo The Gunners dipaparkan pada satu poster berlatarbelakangkan warna merah tradisi Arsenal disiarkan di unai-emery.com, yang turut dipaparkan bersama akaun Twitter rasmi pengurus berusia 46 tahun itu.
Mesej yang dipaparkan pada poster berkenaan adalah ‘bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Arsenal’, biarpun kelab barat London itu belum mengumumkan secara rasmi siapa bakal menjadi pengurus baharu mereka.

Walau bagaimanapun, imej tersebut didapati dipadamkan selepas beberapa jam disiarkan di laman web berkenaan.
Arsenal dijangka mengesahkan Emery sebagai pengurus baharu dalam tempoh 22 tahun berikutan pemergian Wenger.

Pengurus berasal dari Sepanyol itu berjaya menarik minat ahli lembaga pengarah Arsenal semasa perbincangan biarpun pada asalnya The Gunners berminat melantik Mikel Arteta. – AGENSI










