BACHOK 15 Mei – Jabatan Pengairan dan Saliran negeri hari ini meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Pas Kelantan kerana tidak menyalurkan bajet penyelenggaraan pantai terhadap jabatan itu.
Pengarahnya, Kamal Mustapha berkata, sebaliknya peruntukan itu hanya diberi kepada setiap Majlis Daerah sahaja.
“Kita langsung tidak mendapat bajet khusus bagi menyelenggarakan keindahan pantai di negeri ini. Jadi, kita terpaksa bermodalkan kelengkapan sedia ada seperti penyapu, pemotong rumput dan peralatan lain.
“Kita akui mungkin kerajaan negeri juga tidak mempunyai peruntukan mencukupi dan kita cuba memikirkan inisiatif lain seperti menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pantai Irama di sini hari ini.
Kira-kira 500 peserta daripada setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kesihatan dan Persatuan Pandu Puteri menyertai program Transformasi Pantai Irama di sini hari ini.
Menurut Mustapha, program seperti itu akan dilaksanakan secara bersiri bagi menyedarkan pengunjung terhadap aspek kebersihan pantai.
“UMK juga akan merangka satu skuad kebersihan pantai untuk memastikan kebersihan dan keindahan pantai dapat digerakkan secara berterusan.
“Saya juga seronok apabila sudah ada sukan air dianjurkan oleh pihak swasta kerana Pantai Irama ini memang tumpuan kalau hujung minggu sahaja hampir 3,000 pengunjung datang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










