JEREZ, Sepanyol – Pelumba Aprilia, Aleix Espargaro mengakui pasukannya bakal melakukan perubahan besar terhadap jentera yang sebelum ini bergelut dengan masalah mekanikal pada empat perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotGP) musim ini.
Sepanjang empat perlumbaan tersebut, Espargaro masih belum mengutip sebarang mata selepas jentera RS-GP mengalami masalah teknikal sebanyak tiga kali dan lebih menyedihkan, pelumba Sepanyol itu kehabisan minyak ketika pusingan terakhir perlumbaan pembukaan di Qatar sekali gus hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-18.
Nasib malang berterusan menimpa Espargaro apabila jentera RS-GP itu mengalami masalah enjin dan dia terus berputih mata untuk mengutip mata pada GP Argentina.
Ketika perlumbaan di Jerez minggu lalu, pelumba berusia 28 tahun itu turut gagal menamatkan saingan selepas terbabas.
“Saya tidak tahu kenapa masalah enjin boleh terjadi dan saya tidak berminat untuk mengetahui perkara berkenaan ketika ini. Ketika ini, Aprilia sangat kecewa dengan apa yang berlaku pada perlumbaan musim ini dan mereka berjanji untuk menyediakan jentera terbaik.
“Mereka akan melakukan revolusi pada jentera RS-GP untuk memastikan segala masalah mampu diselesaikan secepat mungkin. Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku tetapi masalah perlu diatasi.
“Saya yakin Aprilia mampu membina sebuah jentera terbaik sekali gus memudahkan saya untuk menaiki podium. Justeru, pasukan perlu bekerja keras pada perlumbaan seterusnya di Perancis nanti.
“Ia bukan perkara mustahil kerana sebelum ini kita pernah meletakkan Aprilia berada dalam kelompok depan. Jadi, saya yakin sekiranya masalah mekanikal dapat diatasi, saya mampu memastikan kita terus mengutip mata pada baki perlumbaan musim ini,” katanya. – Agensi










