JAKARTA – Sebelas penumpang pesawat Lion Air cedera akibat ‘gurauan bom’ daripada seorang penumpang ketika mereka memasuki pesawat itu yang dijadual berlepas dari Pontianak, Kalimatan ke Cengkareng, Jakarta.
Sebuah video yang tular di media sosial di Indonesia menunjukkan para penumpang panik dan bertindak keluar menerusi pintu kecemasan, malah ada yang bertindak terjun dari sayap pesawat Boeing 737 itu.
Penerbangan JT687 yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Bandar Udara International Supadio pada pukul 6.50 petang waktu tempatan itu ditunda ke pukul 9.45 malam dan selamat tiba ke destinasi pukul 11.10 malam tadi.
Menurut laporan media Indonesia, seorang penumpang lelaki dikenali sebagai Frantinus Nirigi dilaporkan bergurau kononnya terdapat bom dalam pesawat itu ketika para penumpang dalam proses memasuki pesawat.
Keadaan itu menyebabkan para penumpang lainnya panik dan bertindak membuka pintu kecemasan pesawat berkenaan untuk menyelamatkan diri.
Penumpang berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pihak polis Kalimatan Barat tidak menemui sebarang bom dalam pesawat berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air Group, Edward Sirait dipetik media Indonesia berkata, sepanjang tahun 2018, Lion Air telah mengalami lapan kali gurauan bom.
“Ini sudah berulang-ulang, dalam tahun ini saja sudah lapan kali, terakhir pada 27 Mei lepas dalam penerbangan Jakarta-Kuala Lumpur, akibatnya penerbangan ditangguhkan hampir dua jam, ini merugikan semua pihak,” katanya. – Bernama










