Amerika tinggalkan perjanjian nuklear Iran - Utusan Malaysia

Amerika tinggalkan perjanjian nuklear Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 9 Mei – Kuasa-kuasa Barat memberi jaminan bahawa mereka akan bertegas dalam isu berhubung perjanjian nuklear Iran, biarpun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan negara ini keluar daripada perjanjnian tersebut.

BBC melaporkan, United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman menggesa AS tidak menghalang pelaksanaan perjanjian tersebut.

Sebagai tindak balas, Iran menyatakan bahawa pihaknya akan menyambung semula pembangunan uranium yang digunakan untuk membina senjata nuklear jika perjanjian tersebut tidak boleh diselamatkan.

Menerusi satu kenyataan, Pre­siden Iran, Hassan Rouhani memaklumkan bahawa beliau sudah mengarahkan Kementerian Luar negara itu mengadakan rundi­ngan dengan negara-negara Eropah, China dan Rusia dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Jika kita berjaya capai kerjasama dengan negara lain yang terlibat dalam perjanjian itu, maka tiada apa yang akan berubah dan kekal seperti biasa,” katanya.

Semalam, Trump menerusi ucapan yang disiarkan di televisyen mengumumkan bahawa negara ini akan menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran yang digelar sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Beliau turut menyifatkan perjanjian tersebut sebagai teruk, bersifat berat sebelah yang tidak seharusnya dimeterai.

“Perjanjian itu tidak melin­dungi AS dan sekutunya, selain dilihat tidak mampu mengekang pemba­ngunan nuklear Iran dan menghalang sikap ‘ganas’ negara itu di beberapa negara lain termasuk Syria dan Yemen.

“Perjanjian itu juga tidak melibatkan pembangunan peluru berpandu Teheran dan mekanisme pemeriksaannya tidak cukup kuat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Trump memaklumkan bahawa beliau akan mengenakan semula sekatan terhadap Iran yang mana sebelum ini dihentikan buat seketika apabila perjanjian dimeterai pada 2015.

Dalam pada itu, Jabatan Perbendaharaan AS menerusi kenya­taan menyatakan bahawa sekatan ekonomi yang bakal dikenakan terhadap Teheran tidak akan dilaksanakan secara serta-merta dan menyasarkan beberapa industri termasuk minyak, eksport pesawat dan perdagangan keluli.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia melahirkan rasa kecewa berhubung keputusan Trump, manakala Jepun menyatakan pihaknya akan memantau rapat mengenai kesan yang akan timbul selepas AS keluar daripada perjanjian berkenaan.

Bekas Presiden AS, Barack Obama turut tidak ketinggalan memberi komen berhubung keputusan tersebut.

Menerusi Facebooknya, Obama menyatakan bahawa perjanjian itu berjalan lancar dan melin­dungi pelbagai kepentingan AS.

Selain itu, jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres juga melahirkan kebimbangan mengenai keputusan tersebut dan menggesa supaya pihak lain bertahan dalam perjanjian itu.

Bagaimanapun, Israel dan Arab Saudi yang merupakan seteru Iran menyatakan sokongan terhadap keputusan Trump.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×