KUALA LUMPUR 29 Mei – Organisasi seni mempertahankan diri campuran terulung dunia UFC® dan AirAsia selaku penaja UFC dan persembahan UFC® Fight Night Singapore: Cowboy VS Edwards oleh AirAsia, melancarkan hiasan atau `livery’ jenama UFC pertama pada pesawat AirAsia Airbus A330-300.
Pesawat itu menampilkan jenama UFC buat julung kali dan semestinya akan menarik perhatian pelancong seluruh dunia.
“Kerjasama yang patut diteladani antara UFC dan AirAsia membuktikan semangat di sebalik kedua-dua jenama yang memberi penuh inspirasi,” ujar Naib Presiden Kerjasama Pemasaran Antarabangsa UFC, Rene Valencia.
“Hari ini merupakan peristiwa bersejarah yang boleh dibanggakan dan kami mengalu-alukan pelancong menaiki pesawat mengagumkan jenama AirAsia Airbus,” ujarnya.
Perasmian ini disaksikan oleh atlet UFC kelas ringan di tangga kelima, Kevin Lee yang hadir untuk mempromosikan acara tersebut yang akan diadakan pada 23 Jun ini di Singapura.
Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia, Rudy Khaw berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperkenalkan livery istimewa ini selaku syarikat penerbangan rasmi UFC di Asia.
Berucap di pelancaran terbabit, Naib Presiden Asia Pasifik di UFC, Kevin Chang berkata, ini adalah saat istimewa bagi rakan kongsi yang dihargai, AirAsia dan UFC.
“Kami komited untuk meluaskan jenama dan sukan di Asia, dan kerjasama ini akan terus membantu kami untuk melakukannya. Kami mempunyai satu malam pertarungan di Singapura dalam masa kurang dari sebulan dan pesawat berjenama ini akan menambah keterujaan peminat yang melancong ke sana,” ujarnya.
Pada 23 Jun kelak, peminat bakal menyaksikan acara MMA bertaraf dunia dengan atlet dari seluruh dunia. UFC® FIGHT NIGHT SINGAPORE: COWBOY VS EDWARDS presented by AirAsia benar-benar acara pertarungan antarabangsa yang mengetengahkan atlet dari Australia, Brazil, China, England, Jepun, Mexico, Filipina, Rusia dan Amerika Syarikat.
Tiket adalah berharga S$378, S$268, S$198, S$148, S$98, S$68 dan S$48 (harga tidak termasuk bayaran tempahan).










