Ahmad Faizal dilantik Menteri Besar Perak ke-12 - Utusan Malaysia

Ahmad Faizal dilantik Menteri Besar Perak ke-12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-12 di Istana Iskandariah di sini sebentar tadi.

Istiadat penyampaian surat cara pelantikan dan upacara angkat sumpah itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Berangkat sama dalam upacara tersebut, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah. 

Istiadat pengisytiharan pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar itu turut disaksikan para pembesar negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perak. 

Sultan Nazrin memperkenankan pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak selaras dengan Fasal (1) dan Fasal (2) Perkara 12 dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Terdahulu, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim menyempurnakan bacaan doa sebelum diikuti titah ucapan Sultan Nazrin.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Turut mengiringi isteri Ahmad Faizal, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Ahmad Faizal dipilih sebulat suara oleh pimpinan PH Perak bagi mengetuai kerajaan selepas gabungan parti itu mendapat sokongan dia ADUN daripada BN untuk membentuk majoriti mudah membentuk kerajaan negeri. 

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 Rabu lalu menyaksikan PH memperoleh 29 kerusi DUN manakala BN memenangi 27 dan pas tiga kerusi. 

PH bagaimanapun mendapat majoriti mudah untuk menubuh kerajaan selepas dua ADUN daripada BN memberi sokongan mereka kepada PH untuk membentuk kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×