Abu Kassim, Mohd. Shukri calon Ketua Pesuruhjaya SPRM? - Utusan Malaysia

Abu Kassim, Mohd. Shukri calon Ketua Pesuruhjaya SPRM?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mei – Dua nama besar yang pernah berkhidmat dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, Tan Sri Abu Kassim Moha­med dan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull disebut-sebut menjawat jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya tersebut.

Abu Kassim (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM) dan Mohd. Shukri (bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM) dikatakan antara calon yang bakal menggantikan Tan Sri Dzul­kifli Ahmad yang melepaskan jawatannya hari ini melalui satu surat yang diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Menurut sumber, bagaimanapun, bayangan sama ada benar atau tidak dua nama tersebut bakal menerajui SPRM masih samar memanda­ngkan terdapat dua lagi pegawai kanan turut dikatakan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Presint 8 dekat sini hari ini.

Menurutnya, dua pe­ga­wai kanan terbabit iaitu Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Idris Zaharuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Integriti di Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Butiran mengenai pertemuan tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan berkenaan apa, namun pertemuan tersebut berkemungkinan mempunyai kaitan dengan isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya yang baharu serta siasatan melibatkan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

“Tiada pengesahan lanjut mengenai apa pertemuan tersebut diadakan,” katanya di sini hari ini.

Dzulkifli melepaskan jawatannya dalam suruhanjaya tersebut hari ini dan surat tersebut dise­rahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN