Tidak salah bawa bodyguard tetapi siapa yang artis ini? - Utusan Malaysia

Tidak salah bawa bodyguard tetapi siapa yang artis ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Macam-macam betul cerita yang singgah ke telinga Cik Bunga minggu ini. Kali ini, ceritanya membabitkan penyanyi popular dengan lagu-lagu Kelantan, Eda Ezrin, yang khabarnya muncul di sidang media baru-baru ini dengan ditemani pengawal peribadi.

Bab bawa pengawal peribadi itu, Cik Bunga tak ada masalah pun. Kalau dirasakan perlu untuk soal keselamatan, bawalah seorang, dua orang atau satu pasukan sekali pun. Itu hak masing-masing. Maklumlah, orang popular tentu ada pertimbangan tersendiri.

Tetapi yang membuatkan Cik Bunga menggaru kepala, khabarnya ketika sesi soal jawab bersama pengamal media berlangsung, ada soalan yang diajukan kepada Eda tetapi belum sempat tuan punya badan memberikan jawapan, pengawal peribadinya pula yang menyampuk dengan kata-kata, ‘Next, next’.

Eh, sekejap. Siapa artis sebenarnya ini?

Menurut cerita yang sampai ke telinga Cik Bunga, soalan yang ditanyakan itu bukannya panas sangat pun. Bukanlah sampai boleh membuatkan suhu bilik sidang media naik mendadak. Jadi, Cik

Bunga pun tertanya-tanya, apa motif pengawal peribadi pula yang menentukan soalan mana boleh dijawab dan mana perlu dilangkau?

Kalau benar begitu kejadiannya, pelik juga. Pengawal peribadi tugasnya menjaga keselamatan, bukan menjadi moderator sidang media atau jurucakap artis. Kalau setiap soalan hendak ditapis, yang ini tak boleh, yang itu jangan tanya, baik dari awal beritahu sahaja topik apa yang dibenarkan. Senang pengamal media datang membawa soalan objektif aneka pilihan!

Satu lagi yang Cik Bunga dengar, Eda dikatakan agak tergesa-gesa untuk pulang ke Kota Bharu kerana perlu mengejar penerbangan pada petang hari yang sama. Disebabkan itu, katanya dia perlu bergerak awal dan tidak boleh berlama-lama.

Kalau jadual sudah diketahui ketat sampai sesi bersama media pun terpaksa dibuat dalam keadaan mengejar masa, Cik Bunga rasa lebih baik susunlah waktu dengan lebih elok. Pengamal media pun ada kerja lain, bukan duduk menunggu semata-mata untuk hadir ke sidang media yang akhirnya serba tak boleh bertanya dan artis pula mahu cepat beredar.

Jangan salah faham. Cik Bunga faham artis ada jadual, ada penerbangan dan ada urusan masing-masing. Tetapi apabila sudah bersetuju untuk hadir ke sidang media, berilah sedikit ruang dan masa untuk media menjalankan tugas mereka. Hubungan dengan media ini biarlah saling memahami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN