KANGAR: Formula kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak mustahil digunapakai di negeri ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, momentum persefahaman sememangnya sudah wujud namun kepimpinan parti masih menunggu hasil ditunjukkan dalam PRN Negeri Sembilan.
Katanya, UMNO di Perlis sememangnya mempunyai hubungan baik dengan semua pihak termasuk Pas malah parti itu juga tidak pernah terlibat dengan sebarang krisis kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini.
“Kita tidak pernah terlibat dalam menjatuh atau meruntuhkan kerajaan negeri sebelum ini malah, dalam situasi sekarang pun di mana Perlis dipimpin Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kita tidak terlibat menganggu kerana itu urusan mereka.
“Mudah-mudahan, sekiranya berjaya koalisi tersebut di Negeri Sembilan, mungkin kita akan bergerak (kerjasama) seterusnya ke Melaka dan mungkin ke seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN dan PN mencapai kata sepakat tidak bertembung antara satu sama lain di mana-mana kerusi dalam pilihan raya tersebut.
BN meletakkan calon di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN pula di 11 kerusi DUN.
Fathul Bari berkata, inisiatif rumah bangsa digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut membawa satu gelombang besar ke seluruh tanah air.
Dalam pada itu, Fathul Bari memberitahu, gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya sudah bermula dan buat masa ini, UMNO Bahagian Kangar sedang memberi fokus membuat susun atur, perancangan dan melakukan kajian untuk meneliti manifesto bakal ditawarkan buat rakyat.
“Walaupun UMNO optimis namun kita tidak boleh mengambil mudah berikutan parti-parti lain turut mempunyai kekuatan masing-masing.
“Politik ini fragile (rapuh), dengan sesiapa sahaja kita boleh bersama selama mana ia ada kebaikan untuk rakyat dan juga kebaikan untuk kelangsungan politik parti,” katanya.-UTUSAN










