KAJANG – Sebanyak 4,314 set komputer dan 34 buah simulator yang pernah digunakan dalam operasi perjudian online dimusnahkan dalam dalam satu majlis pelupusan barang-barang kes yang diadakan di pekarangan Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua peralatan yang digunakan untuk operasi perjudian itu adalah hasil daripada Ops Dadu yang dilakukan di Kontinjen Selangor bagi membanteras perjudian secara online.
“Bermula Januari 2016 sehingga Mei 2018 sebanyak 9,101 serbuan telah dilakukan di Kontinjen Selangor dan berjaya merampas sebanyak 99,079 barang kes berserta wang tunai berjumlah RM923,694.
“Daripada jumlah tersebut, sehingga kini sebanyak 2,560 serbuan telah dilakukan, seramai 1,462 individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan sejumlah wang tunai berjumlah RM83,544 turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan gimik pelupusan barang kes di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd.Shahril Che Saad dan Majistret Mahkamah Kajang, Fadzilatul Isma Ahmad.
Menurut Fadzil, sepanjang Ops Dadu dilaksanakan, sebanyak 402 kertas siasatan telah dibuka di Daerah Kajang bagi tahun 2016 dan 2017.
“Sebanyak 4,314 set komputer dan 34 buah simulator yang digunakan bagi aktiviti perjudian online akan dimusnahkan hari ini setelah mendapat kelulusan pihak Mahkamah Kajang,” katanya. – K! ONLINE










