KUALA TERENGGANU 29 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan tiga bot nelayan Vietnam dengan nilai rampasan berjumlah RM2.1 juta dalam kejadian di lokasi antara 27 hingga 31 batu nautika dari muara Kuala Terengganu di sini semalam.
Dalam tangkapan itu, antara yang dirampas ialah lebih enam metrik tan campuran ikan dan sotong selain 2,000 liter diesel serta peralatan menangkap ikan.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, kesemua tiga bot tersebut ditahan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.20 petang semalam termasuk 16 nelayan Vietnam berusia 19 hingga 58 tahun.
Menurutnya, mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama selain Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua bot itu ditahan berdekatan antara satu dengan lain iaitu antara 500 hingga 600 meter di mana bot pertama ditahan pada pukul 12.30 tengah hari diikuti bot kedua pada pukul 12.50 tengah hari dan ketiga pada pukul 1.20 petang.
“Hasil siasatan mendapati kesemua nelayan Vietnam itu datang dari Kelantan dan dipercayai baru menceroboh perairan Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah Maritim 9 negeri di sini hari ini.
Menurutnya, nelayan asing itu juga didapati menggunakan taktik memasang bendera Malaysia dan Kelantan pada bot mereka bagi mengaburi pihak berkuasa.
Rahim berkata, pihaknya percaya pencerobohan nelayan asing khususnya Vietnam ke perairan negeri ini didalangi ejen tempatan yang bertindak sebagai orang tengah.











