10 pelajar maut ditembak di sekolah - Utusan Malaysia

10 pelajar maut ditembak di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN 19 Mei – Sepuluh pelajar maut dan 10 lagi cedera selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah tinggi di Texas.

Lapor BBC memetik kenyata­an Gabenor Texas, Greg Abott berkata, pelajar yang ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh dikenali sebagai Dimitrios Pagourtzis, 17, daripada Sekolah Tinggi Santa Fe.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu menggunakan senapang patah dan pistol jenis revolver kepunyaan bapanya yang merupakan pemilik sah senjata tersebut.

Abott menambah, pelbagai jenis alat letupan turut ditemui di sekolah, kira-kira 65 kilometer daripada selatan Houston dan di luar kampus termasuklah ‘peranti CO2’ dan koktel Molotov (bom botol).

“Pihak polis turut me­nemukan maklumat dalam diari suspek, komputer dan telefon bimbit yang menunjukkan dia merancang melakukan serangan itu sebelum membunuh diri selepas kejadian tersebut.

“Remaja itu, bagaimanapun menyerah diri selepas tidak berani untuk membunuh dirinya,” kata Abbot.

Sementara itu, media tempatan turut melaporkan, pegawai polis sekolah Santa Fe, John Barnes dinamakan antara mereka yang cedera dan perlu menjalani pembedahan segera kerana berada dalam kritikal.

Menurut seorang pelajar, Abott telah memasuki kelas seni dan melepaskan tembakan sebelum pukul 8 pagi waktu tempatan.

“Ada seseorang masuk dengan membawa senapang dan mula menembak, terdapat seorang gadis yang ditembak pada bahagian kaki,” kata beliau.

Seorang pelajar memberitahu stesen TV tempatan, seorang guru menyedari apa yang berlaku bertindak mengaktifkan penggera kebakaran supaya para pelajar mengosongkan bangunan tersebut.

Kejadian ini turut menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkan serangan itu sebagai ‘benar-benar mengerikan’.

“Saya bertekad untuk melakukan segala-galanya demi melin­dungi pelajar, sekolah dan tidak membenarkan senjata di tangan orang salah yang akan menimbulkan ancaman kepada diri sendiri dan orang lain,” ujarnya.

Berikutan insiden itu, Trump mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di White House dan semua bangunan awam dan tentera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN