KUALA LUMPUR 8 Feb. – Sebuah kedai emas mengalami kerugian RM720,000 selepas tiga lelaki bersenjata api melarikan lapan dulang barangan kemas di sebuah pasar raya besar di Kota Damansara di sini hari ini.
Video oleh FARABI SAID
Difahamkan ini merupakan kejadian kedua berlaku terhadap premis yang sama apabila mengalami kerugian RM1.1 juta dalam kejadian sama pada 2 November lalu.
Dalam kejadian pukul 11.47 pagi itu, tiga lelaki dipercayai warga tempatan bertindak menyerbu kedai tersebut dengan mengenakan topi dan topeng yang mana seorang daripada mereka membawa sepucuk pistol Revolver .38.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek yang membawa pistol tersebut kemudiannya mengacukan senjata api itu ke arah pengawal keselamatan kedai emas tersebut sebelum merampas selaras senapang patah.
“Dua rakan penjenayah pula mengambil lapan dulang barangan kemas yang diletakkan di ruang pameran luar premis berkenaan.
“Suspek yang merampas senapang tersebut kemudiannya mencampakkan senjata milik pengawal keselamatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan Perodua Myvi berwarna putih disyaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zani berkata, ketika kejadian, sebanyak enam pekerja bertugas di premis tersebut dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, pihaknya masih berusaha mengenal pasti suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain maklumat daripada saksi kejadian.
“Buat masa ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi Rosmini Azah Jusoh, 41, memberitahu, ketika kejadian dia melihat seorang daripada tiga suspek membawa pistol menuju ke arah premis tersebut.
“Saya sedang duduk di kedai sebelum ternampak tiga lelaki berlari ke arah kedai emas itu. Saya nampak seorang daripada mereka memegang pistol.
“Keadaan ketika itu mencemaskan sehinggakan saya terpaksa menyorok sebelum melarikan diri dari pintu utama yang digunakan penjenayah tersebut,” ujarnya.










