JOHOR BAHRU 10 Feb. – Kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini pada 17 Disember lalu, memasuki episod baharu dengan penahanan 35 ahli Geng 360 yang disyaki ada kaitan dengan kejadian itu.
Video oleh SHARKAWI LONDING
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, penahanan kesemua suspek berusia antara 20 hingga 69 tahun dalam operasi khas yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Bukit Aman di seluruh negara sekaligus melumpuhkan kegiatan kumpulan kongsi gelap tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pertubuhan haram itu yang telah beroperasi sejak 20 tahun lalu terlibat dalam kegiatan jenayah terancang seperti dadah, kekerasan dan penyeludupan.
“Kes pembunuhan tersebut telah selesai dan ketika siasatan dijalankan kita telah membongkar rangkaian kumpulan ini yang dianggotai hampir 100 orang.
“Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman juga membeku dan menyita harta anggota kumpulan bernilai lebih RM6.5 juta meliputi tujuh kenderaan mewah, empat hartanah, 73 akaun bank, enam utas jam tangan berjenama dan wang tunai pelbagai mata wang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam pada 17 Disember tahun lalu, mangsa, Tan Aik Chai, 44, ditikam dan dilanggar oleh sebuah kereta mewah BMW berwarna putih di stesen minyak berkenaan yang mana video kejadian turut tular dalam laman sosial.
Ditanya sejauh mana pembabitan geng tersebut dengan pembunuhan kejam mangsa, Mohd. Khalil Kader menjawab, ‘sangat rapat’ dan pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek yang ditahan sebelum ini juga adalah daripada geng yang sama.
Jelasnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan Seksyen 130 W kanun sama kerana membantu ahli kumpulan jenayah terancang dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.










