KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada agensi itu untuk menjalankan siasatan berhubung kes penyelewengan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM bertindak secara profesional dan mempunyai asas ketika memanggil saksi bagi membantu siasatan.
“Kita telah memanggil dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai saksi semalam dan hari ini. Jadi saya hendak menyeru kepada semua pihak supaya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.
“Kami bertindak profesional dan apabila kita panggil, kita ada asasnya kenapa saksi itu diminta bantu siasatan. Jadi tidak perlu lah saya jawab kenapa saksi-saksi ini dipanggil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari inim
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang bagi memberi keterangan berhubung kes penyelewengan projek terowong dasar laut itu. – K! ONLINE










