KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan Indonesia yang merancang menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan iaitu memberi sokongan dan memiliki barang berkaitan Daesh pada Januari lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Mohd. Al-Arshy Mus Budiono, 23, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan memiliki beberapa barang berkaitan kumpulan pengganas itu.
Antara barang tersebut ialah dua bendera Daesh, sebilah pisau dan satu gelang tangan yang mempunyai imej bendera Daesh.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.










