NBOS perlu kerjasama kementerian, agensi - Utusan Malaysia

NBOS perlu kerjasama kementerian, agensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG 11 Feb. – Pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membuktikan bahawa kerajaan sentiasa membuat peranca­ngan terhadap kebajikan rakyat walaupun berdepan pelbagai tuduhan pihak tertentu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, NBOS juga membuktikan kerajaan tidak boleh membangunkan negara secara bersendirian dan memerlukan kerjasama berpasukan.

Sebagai contoh katanya, pe­nganjuran Fiesta NBOS Mesra Rakyat mampu menjadi platform, selain membuka lebih ruang kepada masyarakat untuk memahami kaedah dan strategi kerajaan dalam membangunkan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara peribadi, saya terlibat dengan pelaksanaan NBOS pada 2009. Pada masa itu tidak terlintas bahawa apa yang kita lakukan sebesar ini seperti Fiesta NBOS Mesra Rakyat yang dibawa ke Sembrong khususnya di Paloh buat julung kalinya hari ini.

“Usaha mewujudkan NBOS bu­kan mudah, namun ia kini menjadi kenyataan sehingga dicontohi negara lain,” katanya selepas merasmikan fiesta itu di Padang Awam Paloh di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Program sehari itu sebelum ini diadakan di Pekan, Pahang (23 September 2017) dan Bagan Datuk, Perak (19 November 2017).

Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut melancarkan lapan inisiatif baharu NBOS dengan sebahagian inisiatif itu turut melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Inisiatif berkenaan adalah Inisia­tif Kementerian Kewangan (Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile) CTC, Coding @ Schools dan Strategic Linkages); Program Bantuan Mesra Rakyat Sembrong, My Kampung My Future – Kampung Sri Lukut dan Program Jimat Belanja Dapur FAMA.

Turut diadakan Kerjasama Biotechnology Community Development Programme dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), pengukuhan kerjasama antara 1M4U dengan Briged Sukarelawan Khidmat Negara, Program Remaja Sukarelawan 2.0 serta kerjasama 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) – Ops Samudera.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, fiesta tersebut merupakan satu inisiatif Kementerian Kewangan dalam usa­ha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekali gus mendedahkan rakyat khususnya di luar bandar berhubung idea NBOS dilaksana kerajaan.

“Ini bukan musim pilihan raya (penganjuran Fiesta NBOS Mesra Rakyat). Dengan mandat diberi rakyat, kita boleh buat lebih daripada ini.

“Kalau rakyat percaya pada politik kebencian, berita palsu, saya bimbang apa yang dirancang, apa yang diiktiraf dunia ini (NBOS) tidak akan kesampaian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×