KENINGAU – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan melecur pada bahagian muka selepas kediaman keluarganya musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Mempisas di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan segera dikejarkan ke Hospital Keningau dekat sini untuk rawatan lanjut.
Turut cedera ibu mangsa, 38, yang sedang hamil dan bapanya, 26, masing-masing melecur pada bahagian tangan dan kaki.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan, dalam insiden terbabit seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang lelaki dewasa dan wanita terselamat.
“Semasa kejadian, terdapat keenam-enam mangsa berada di dalam rumah tersebut.
“Akibat kebakaran itu, seorang bayi melecur pada bahagian muka manakala ibu dan bapanya cedera pada bahagian tangan serta kaki,” kata kenyataan itu hari ini.
Operasi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa adalah melibatkan seramai empat anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Keningau yang diketuai Ketua Operasi Leong Hoi Min.
Operasi tamat pada pukul 10.40 malam. – K! ONLINE










