KOTA MARUDU – Seorang lelaki disyaki mabuk ditemui mati lemas di dalam kolam ketika melakukan aktiviti memancing ikan di Kampung Longob di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Wilfred Magimpa, 44, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, sebelum kejadian lelaki tersebut sedang memancing sambil menikmati minuman keras bersama sembilan rakannya di sebuah pondok berhampiran kolam berkenaan.
“Difahamkan, secara tiba-tiba mangsa bertindak terjun ke dalam kolam dan naik semula ke daratan.
“Kemudian, dia memaklumkan hasrat kepada rakan-rakannya untuk berenang di tengah kolam sehingga selang beberapa minit mangsa dilihat tidak timbul di permukaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bimbang keadaan yang menimpa lelaki terbabit beberapa rakannya membantu menyelamatkan mangsa namun, apabila dibawa naik ke darat dia tidak bernafas dan disahkan meninggal dunia.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE










