Lantik calon muda untuk bawah aspirasi TN50 - Utusan Malaysia

Lantik calon muda untuk bawah aspirasi TN50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 11 Feb. – Majlis Belia Sabah (MBS) berharap pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dapat mengetengahkan calon-calon muda untuk bertanding di negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang bagi mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Lantik calon muda untuk bawah aspirasi TN50
Nourman Rayn Awang Zaini

Presidennya, Nourman Rayn Awang Zaini berkata, kombinasi calon muda dan lama penting kerana tempoh lebih 30 tahun untuk mencapai sasaran TN50 memerlukan perancangan dan pelaksanaan berterusan.

“TN50 hanya akan menjadi gagasan retorik jika tiada pemimpin-pemimpin muda yang dinaikkan atau dilantik menjawat jawatan dalam Kabinet.

“Ini kerana, sebahagian pemimpin sekarang sudah berumur dan telah lama, justeru kehadiran orang-orang muda akan memastikan perancangan TN50 pada hari ini dapat diteruskan tanpa terputus sehinggalah tahun 2050,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa mencadangkan supaya parti itu memilih lebih banyak calon muda untuk bertanding dan diberikan jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, Nourman Rayn berkata, kehadiran calon muda juga dapat mengimbangi demografi politik semasa terutama golongan muda yang amat memerlukan pemimpin dalam kalangan mereka.

Katanya, meskipun pemimpin yang telah lama berkhidmat mempunyai cukup pengalaman, namun bagi mendekati golongan muda, seelok-eloknya pemimpin muda diberikan peranan.

“Sudah tiba masanya kita di Sabah ini menerima muka-muka baharu bagi mengukuhkan lagi sokongan golongan muda kepada kerajaan selain membantu menyumbangkan idea-idea segar di dalam penggubalan dasar kerajaan negeri agar Sabah sentiasa sejahtera dan bertambah maju.

“Pihak kerajaan perlu melihat perkara ini lebih serius kerana perubahan daripada segi demografi politik dan kecenderungan pengundi masa kini telah berubah, muka-muka baru yang bakal diketengahkan nanti sudah pasti mampu melonjakkan lagi imej kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×