Kelindan lori dihukum gantung edar dadah - Utusan Malaysia

Kelindan lori dihukum gantung edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 9 Feb. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang kelindan lori setelah didapati bersalah mengedar dadah berbahaya, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis ketika membacakan ringkasan keputusannya, turut menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara ke atas tertuduh, S. Pragasam, 30, bagi satu lagi pertuduhan memiliki dadah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kedua-dua hukuman itu sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Anselm berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah walaupun keterangannya berbeza dengan pihak pembelaan.

Anselm juga mengecualikan hukuman sebat ke atas tertuduh bagi pertuduhan memiliki dadah dengan mengambil kira peruntukan Seksyen 289 (b) Kanun Acara Jenayah yang melarang sebatan dikenakan ke atas pesalah lelaki yang dijatuhkan hukuman gantung.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar 110.1 gram dadah berbahaya (101.2 gram heroin dan 8.9 gram monoacetylmorphines) di sebuah rumah di No. 127, Jalan Pengkalan Barat 32, Taman Puteri Lindungan Bulan, Pasir Puteh di sini pada 11 Mei 2016, kira-kira pukul 7.30 malam.

Pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B(2) akta sama itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah seberat 36.6 gram methamphetamine di tempat, tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 (A)(2)(r) akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan rotan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon Kork Chern sementara tertuduh diwakili peguam Ranjit Gill. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×