KUALA LUMPUR 7 Feb. – IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad sekali lagi bergabung untuk menganjurkan IJM Allianz Duo Highway Challenge, yang menjanjikan keterujaan untuk peserta di Kuala Lumpur tahun ini.
Acara tersebut pertamanya melibatkan Lebuhraya Besraya, yang menawarkan laluan sejauh 13 kilometer (km) untuk acara utama, manakala 6km bagi fun run pada 29 April ini.
Sementara itu, cabaran kedua di Lebuhraya NPE pula menyajikan jarak yang lebih mencabar iaitu 21km marathon separuh, serta larian 10km pada 29 Julai ini.
Kedua-dua cabaran tersebut dianjurkan oleh Besraya (M) Sdn. Bhd. (Besraya), New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE), termasuk EC Pixels.
Sejak penampilan sulungnya pada tahun lepas, acara tersebut menjadi satu-satunya cabaran yang melibatkan dua lebuhraya di Malaysia. Kedua-dua acara itu pastinya bakal memberi keterujaan kepada penggemar acara larian, memandangkan laluan untuk jarak 21km tahun ini agak berbeza berbanding laluan tahun lalu.
Pada edisi lepas, peserta berpeluang melalui persimpangan bertingkat Pantai Sentral Park yang baharu, dengan ia dijangka siap sepenuhnya sebelum bermulanya cabaran NPE.
Selaku penaja lokasi, Besraya dan NPE bertanggungjawab dalam mendapatkan kebenaran untuk menganjurkan acara ini dari pihak-pihak berkuasa seperti Kementerian Kerja Raya (KKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Bahagian trafik Bukit Aman telah pun memberi kelulusan terhadap pelan pengurusan trafik untuk penutupan sementara dari pukul 2 pagi-12 tengah hari pada tarikh perlumbaan di lebuhraya Besraya.
Sementara pada hari berlangsungnya saingan di Lebuhraya NPE, laluan juga akan ditutup bermula pukul 2 pagi hingga 12 tengah hari.
Sepanjang tempoh penutupan kedua-dua lebuhraya ini, pengguna diminta untuk menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan dan penganjur berjanji untuk memastikan publisiti serta hebahan dilakukan dengan secukupnya kepada orang ramai.
“Kami sangat berbangga untuk mengumumkan penganjuran IJM Allianz Duo Highway Challenge untuk tahun ini, di mana acara ini membuktikan komitmen jangka panjang kami untuk terus menyumbang secara positif kepada sukan dan masyarakat.
“Edisi tahun lepas dianjurkan penuh kejayaan, para peserta gembira berlari di atas lebuhraya tanpa satu pun kenderaan menghalang laluan.
“Keselamatan peserta sentiasa menjadi keutamaan kami agar mereka dapat berlari dengan tenang di samping menikmati pemandangan indah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon.
Penganjur turut berbesar hati untuk mengumumkan tiga penerima sumbangan khas hasil dari dana lebihan yang dikutip pada IJM Allianz Duo Highway Challenge tahun lepas.
Sumbangan khas tersebut akan diberikan kepada Persatuan Lysosomal Malaysia yang menerima wang tunai sebanyak RM10,000, manakala Sekolah Rendah Agama Medan Harun pula menerima set penghawa dingin bagi bilik guru dan Projek Perumahan Rakyat Seri Malaysia menerima sumbangan kemudahan dan alatan untuk bilik mesyuarat.- UTUSAN ONLINE










