Mencerap langit, menyingkap sejarah

Mencerap langit, menyingkap sejarah

PENGHAYATAN terhadap sejarah dan astronomi bukan sekadar memperluas pengetahuan, malah membentuk masyarakat yang lebih kritis, bersyukur dan menghargai perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Malaysia pada 16 September bukan sekadar tarikh memperingati pembentukan Malaysia pada 1963, malah menjadi ruang untuk kita menelusuri sejarah, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta memperkukuh rasa syukur terhadap nikmat keamanan yang dikecapi.

Pembentukan Malaysia lahir daripada perjalanan panjang melibatkan tokoh dan masyarakat dari pelbagai wilayah.

Sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Temenggung Jugah anak Barien dan Tun Fuad Stephens, antara lain, mencerminkan usaha membina sebuah negara berteraskan kerjasama serta persefahaman. Mengenali sejarah ini membantu generasi hari ini memahami nilai perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia.

Dalam masa sama, astronomi mengajar manusia mencerap, bertanya dan mencari jawapan berasaskan bukti. Sejak dahulu, matahari, bulan serta bintang menjadi panduan untuk menentukan masa, arah dan musim.

Dalam tamadun Islam, ilmu falak berkembang sebagai bidang penting bagi menentukan waktu solat, arah kiblat, takwim Hijrah dan kemunculan anak bulan. Tradisi keilmuan ini membuktikan pencarian ilmu mampu berkembang seiring dengan keimanan.

Di Malaysia, kemudahan seperti Balai Cerap Al-Khawarizmi di Melaka dan Kompleks Baitul Hilal di Port Dickson menyediakan ruang untuk masyarakat mengenali astronomi, mendekati sains serta memperluas pemikiran. Generasi muda khususnya perlu memanfaatkan kemudahan tersebut supaya budaya ingin tahu tidak terhad kepada bilik darjah atau peperiksaan.

Menariknya, sejarah dan astronomi mempunyai satu persamaan penting. Sejarah membawa kita meneliti masa lalu, manakala astronomi membuka pandangan terhadap keluasan alam. Kedua-duanya menuntut manusia mencari bukti, menilai maklumat dan berfikir secara kritis.

Dalam era digital, sikap ini amat penting supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu, fitnah atau manipulasi yang boleh menggugat keharmonian.

Namun, ilmu tanpa akhlak boleh disalahgunakan. Kemajuan teknologi perlu disertai integriti, amanah dan rasa tanggungjawab agar pengetahuan yang dimiliki membawa manfaat kepada masyarakat. Ketika mencerap langit yang luas, manusia juga wajar mencerap dirinya sendiri, menyedari keterbatasan sebagai makhluk serta menghayati kebesaran ciptaan Tuhan.

Sempena Hari Malaysia, penghayatan terhadap sejarah dan astronomi dapat membentuk masyarakat yang lebih berilmu, patriotik, bersyukur dan matang dalam menilai dunia. –UTUSAN

MUHAMMAD DHIYAURRAHMAN ROSMAN
Mahasiswa Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan
Kepujian, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×