Malaysia perlu berani sasar emas di Sukan Asia

Malaysia perlu berani sasar emas di Sukan Asia

KETUA Kontinjen Sukan Asia 2026, Datuk Mohd Sumali Reduan bersama atlit skuasy negara ketika membuat lawatan bagi persiapan Sukan Asia 2026 Jepun di Pusat Latihan Skuasy Jalan Duta. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia wajib keluar daripada zon selesa dan perlu berani meletakkan sasaran sekurang-kurangnya lapan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula pada 19 September ini.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, sasaran enam emas tidak mencabar kerana jumlah itu sama dengan kutipan pada Sukan Asia Hangzhou 2022, selepas meraih tujuh emas di Jakarta-Palembang 2018.

“Bagi saya, sasaran yang lebih mencabar untuk kontinjen kita sepatutnya dalam lingkungan tujuh atau lapan emas kerana kita nampak ada peluang untuk mendapat lebih, jadi kita perlu lebih berani dan tidak terlalu selesa dengan sasaran yang mudah dicapai.

“Kalau kita meletakkan enam emas, sedangkan di Hangzhou kita juga memperoleh enam, kita sepatutnya menaikkan sasaran kali ini dan tidak menggunakan pendekatan selamat semata-mata kerana bimbang gagal mencapai angka yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pekan melihat skuasy sebagai antara penyumbang utama yang mampu membuka laluan kepada sasaran lebih tinggi, malah berpendapat sukan itu berpotensi menyumbang dua atau tiga emas, selain basikal trek yang turut dilihat mempunyai kemampuan menghasilkan kejuaraan.

Beliau turut mahu sepak takraw membuktikan kejayaan menewaskan Thailand pada Sukan SEA bukan sekadar pencapaian sementara dengan menyumbang sekurang-kurangnya satu emas, malah sasaran dua emas dianggap lebih berani selepas Malaysia kembali menguasai acara regu dan berpasukan.

Badminton juga tidak boleh diketepikan daripada senarai sandaran emas, manakala karate dan wushu dilihat sebagai calon yang berpotensi mencipta kejutan berdasarkan pencapaian Malaysia dalam beberapa kejohanan terdahulu.

“Kalau kita mahu mengubah pendekatan, kita kena berani mencabar atlet, pegawai, kontinjen, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana kita tidak boleh selama-lamanya berada dalam keadaan selesa setiap kali menghadapi temasya besar.

“Kalau sasaran lapan emas tidak tercapai, kita boleh jelaskan berdasarkan prestasi sebenar mengapa kita gagal, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah menetapkan ukuran yang lebih mencabar dan bukan sekadar mahu pulang lalu mengisytiharkan pencapaian sebagai cemerlang kerana melepasi sasaran selamat,” katanya.

Pekan mengakui sasaran enam emas masih munasabah untuk dicapai, namun beliau mahu Malaysia menjadikan Aichi-Nagoya sebagai titik perubahan untuk membina keberanian menetapkan sasaran lebih tinggi berdasarkan kekuatan sebenar atlet dan peluang emas yang ada.

Untuk rekod, sejak penyertaan Malaysia di Sukan Asia Manila 1954, kutipan terbanyak emas kontinjen Malaysia adalah menerusi edisi 2010 di Guangzhou dengan kutipan sebanyak sembilan emas, 18 perak dan dan 14 gangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×