BEKAS penyerang berbisa, Kelantan musim lalu, Mohammad Ghaddar sah kembali menyarung jersi pasukan itu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain yang sinonim dengan jersi no. 22 itu akan dibawa masuk bagi menggantikan Magaro Gomis yang mengalami kecederaan.
Menurutnya, penjaring terbanyak Liga Super 2017 itu akan tiba Khamis ini bagi menggalas cabaran bersama The Red Warriors (TRW) nanti.
“Alhamdulillah, kita sudah berjaya lengkapkan pendaftaran pemain ini malam tadi (kelmarin) sebelum tarikh tutup.
“Kita harap kehadiran Ghaddar mampu memberikan impak yang lebih positif buat pasukan selepas ini,” katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.
Ghaddar sebelum ini melakar sejarah baharu dalam kancah Liga M apabila yuran perpindahannya ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lepas mencecah RM1.2 juta.
Sepanjang mewakili Kelantan, dia berjaya meledakkan 18 gol daripada 12 perlawanan.
Bibi Ramjani memberitahu, Ghaddar juga telah bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh KAFA dan dia sudah menandatangani kontrak bersama TRW.
Katanya, bukan itu sahaja, menurut ejen Ghaddar, pemain tersebut sudah bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.
“Jadi KAFA membuat keputusan untuk mendapatkan semula khidmat pemain berkenaan,” ujarnya.
Mengulas mengenai Gomis, Bibi Ramjani berkata, khidmat pemain itu terpaksa dilupakan selepas dia mengalami kecederaan.
Katanya, prestasi semasa pemain import yang membarisi TRW akan dipantau dari semasa ke semasa.
“Mana-mana pemain yang tidak menunjukkan prestasi sebenar berkemungkinan akan disingkirkan pada pintu perpindahan pemain kedua nanti,” katanya.
Musim ini, Kelantan dibarisi oleh lima tonggak import iaitu Gomis, Ferdinand Sinaga (Indonesia), Do Dong-hyun (Korea Selatan), Cassio De Jesus (Brazil) dan Bruno Lopes (Brazil).










