SEPANG 11 Feb. – DATUK Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan dan transformasi yang dilaksanakan kerajaan adalah berlandaskan gagasan daripada isi hati orang muda.
Perdana Menteri berkata, sehingga kini sebanyak 80,000 aspirasi orang muda telah dikumpulkan untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan akan diperincikan lagi untuk pelan tindakan golongan berkenaan.
Katanya, beliau sengaja memilih pendekatan yang mengumpul input orang muda kerana percaya kepentingan masa hadapan negara adalah untuk generasi berkenaan.
“Tanggungjawab sebagai pemimpin bukannya bermain politik atau buat dasar jangka pendek tetapi mesti buat dasar daripada isi dan gagasan besar untuk memberi harapan kepada orang muda.
“Jika terus dipimpin BN, impian orang muda akan dapat kita penuhi, insya-Allah,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 2018 di Homestay Banghuris di Kampung Ulu Chucoh, Sungai Pelek di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Presiden Gerakan Belia 4B, Mohd. Nizam Omar.
Najib berkata, kerajaan hari ini terbuka kepada segala pandangan orang muda dan tidak seperti Perdana Menteri sebelum ini yang mengongkong orang ramai menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selain sanggup melakukan operasi besar-besaran seperti Ops Lalang.
Jelas Perdana Menteri, beliau percaya kepada kebebasan sivil dan menghapuskan ISA kerana tidak mahu masyarakat hidup dalam ketakutan untuk menyuarakan pandangan.
“Saya sedar yang kemudiannya saya menjadi mangsa kepada berita palsu dan kecaman tetapi saya terima inilah demokrasi.
“Kita terbuka kepada kritikan tetapi ia perlu bertanggungjawab dan berasaskan fakta serta bukannya fitnah dan dongeng-dongengan,” katanya.
Tegas beliau, berita-berita palsu seperti isu pengundi Bangladesh dan blackout sebagaimana disebarkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu adalah contoh perbuatan yang tidak beretika.
“Kita tidak boleh tipu rakyat (dalam proses pilihan raya). Kalau kita tipu, tidak akan Barisan Nasional kalah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, Najib memuji peranan yang digerakkan oleh Gerakan Belia 4B selama ini sebagai ‘kilang’ pemimpin muda dan platform membawa suara orang muda.
Menurutnya, kerajaan mengamalkan pelbagai polisi mesra orang muda termasuk pendekatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Parlimen Belia, Felo Perdana serta mewujudkan Bandar Belia.
“Bandar Belia akan diwujudkan di tiga buah negeri yang pertamanya di Tanjung Malim, Perak. Jika BN menang di Selangor, kita boleh wujud di Selangor pula,” katanya.











