KLANG – Seorang pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah menengah di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana membuat laporan palsu menjadi mangsa rogol dan culik.
Tertuduh, Roslind Nagie Anak Enteba, 18, mengaku bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan ke atasnya di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, remaja terbabit telah memberi maklumat palsu kepada pihak polis bahawa dia diculik dan dirogol seorang lelaki.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada pukul 6.43 petang, 1 Februari lalu di Balai Polis Klang.
Bagi kesalahan tersebut, Roslind didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Abd. Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Roslizi menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan hukuman kepada remaja berkenaan. – K! ONLINE










