BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 14 FEBRUARI 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 14 FEBRUARI 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG bersyukur tidak ada kemalangan jiwa berlaku berikutan kebakaran bangunan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya semalam. Punca kebakaran juga sudah diketahui. Difahamkan, hanya bahagian luar bangunan enam tingkat yang berusia 58 tahun itu terjejas.

Apa yang menyedihkan, ketika pasukan Bomba bertungkus lumus mengawal kebakaran itu, ramai juga yang membuat pelbagai andaian atau kenyataan yang tidak masuk akal dan tidak cerdik. Ada yang berkata, data maklumat pencarum hilang dan wang mereka lesap. Sungguh malang pemikiran golongan bebal seperti ini yang tidak melihat kejadian itu juga sebagai musibah.

Mungkinkah pemikiran seperti ini disebabkan masyarakat se­ring disogokkan dengan persepsi negatif sehingga apa sahaja yang ‘melintas’ di hadapan mereka dikaitkan dengan agenda negatif. Sepatutnya, doakan supaya semuanya selamat. Berilah ruang kepada pihak berkuasa menjelaskan situasi yang sebenar.

Harus diingat, kita sekarang berada di era teknologi. Setiap agensi seperti KWSP mempunyai prosedur tersendiri bagi memastikan rekod maklumat ahli sentiasa dalam keadaan selamat walaupun berhadapan dengan bencana seperti kebakaran.

Awang juga berterima kasih kepada KWSP kerana awal-awal lagi memberi jaminan bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas. Kebakaran itu tidak menjejaskan keseluruhan urusan pencarum KWSP. Hanya operasi di pejabat berkenaan terjejas. Apa yang penting simpanan mereka selamat.

AWANG – Belum semak dividen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×