KUCHING 11 Feb. – Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menerima beberapa laporan terdapat pemain Sarawak terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan sebelum ini.
![]() |
|
|
FAS dalam kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius laporan berkenaan terutama selepas menghadiri beberapa siri taklimat bersama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
“Presiden FAS, Datuk Posa Majais telah mengarahkan pengurus pasukan, Wahab Abdul Rahim mengetuai siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan sewajibnya mengikut undang-undang.
“Sekiranya benar, pemain-pemain yang disyaki akan digantung daripada pasukan,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, FAS juga memohon maaf kepada semua penyokong di atas kekalahan pasukannya kepada Felcra FC semalam.
“Sekali lagi, FAS memohon maaf kepada semua pihak khasnya kepada kesemua penyokong terhadap keputusan di luar jangkaan semalam biarpun kemenangan hampir berada di tangan kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











