BENTONG 10 Feb.- Semua pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina bermula 16 Februari ini.
Ketua Pengurusan Aset Lebuhraya Anih Berhad, Radzimah Mohd. Radzi berkata, diskaun tol bagi pengguna kedua-dua lebuh raya terbabit ditawarkan selama 24 jam bermula pukul 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada hari tersebut.
“Diskaun itu adalah sebahagian daripada tanggung jawab sosial korporat (CSR) kami bagi menghargai pengguna untuk pulang meraikan cuti sempena Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
“Selain pemberian diskaun, kita juga sudah mengedarkan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi memudahkan pengguna mengatur perjalanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan Amal dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Hospital Bentong di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










