ALOR SETAR – Pemain import baharu Kedah, Andik Vermansyah dari Indonesia mengakui teruja untuk beraksi bersama skuad Helang Merah selepas dipilih mengisi kekosongan pemain import bagi kuota ASEAN pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Andik, 27, yang berasal dari Jember, Indonesia berkata, beliau kini telah bersedia untuk dipertaruhkan bagi membantu pasukan Kedah dalam pertarungan yang lebih mencabar dalam liga tersebut.
Menurutnya, beliau akan mempamerkan persembahan yang terbaik dan bekerja keras dalam usaha membantu skuad Helang Merah memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Saya sebelum ini menerima tawaran daripada lima buah kelab bola sepak di Liga Indonesia namun mengambil keputusan memilih pasukan Kedah yang merupakan antara pasukan terhebat dalam Liga M.
“Saya berbangga apabila terpilih mewakili pasukan Kedah dan beraksi dengan penuh semangat bersama dengan rakan-rakan sepasukan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi pasukan Kedah kepada pemain import baharu itu yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Yusdi Madeonus Mohamad Yunus di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus pasukan, Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan penolong pengurus, Haris Che Mat.
Pemain lincah itu yang mampu beraksi di posisi tengah dan penyerang telah mengikat kontrak selama setahun bersama Kedah pada Khamis lalu.
Andik yang sebelum ini berbakti selama empat musim bersama pasukan Selangor menambah, beliau juga telah mengenali beberapa pemain Kedah kerana pernah bertembung dalam beberapa siri perlawanan pada musim Liga M sebelum ini.
“Sehubungan itu, saya tidak menghadapi masalah dalam berkomunikasi dengan pemain-pemain Kedah yang lain,” katanya. K! ONLINE










