35 Geng 360 didakwa terlibat dalam kumpulan jenayah terancang - Utusan Malaysia

35 Geng 360 didakwa terlibat dalam kumpulan jenayah terancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seramai 35 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 360 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berusia 20 hingga 69 tahun ini selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin dan Tamil di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, 34 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Jin Jee Tong’.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Selain itu, salah seorang tertuduh, Tan Xiang Wei, 22, didakwa membantu kumpulan jenayah terancang bagi mencapai kepentingan kumpulan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan Akta 574 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 Januari 2015 hingga 14 Januari lalu di daerah Johor Bahru Selatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Antara peguam mewakili tertuduh, Najib Zakaria, M. Vinodharan, Jason Tan, Datin Freda Sabapathy, Melisa Abdul Kadir, Wan Zaleha Abdul Wahab, Wan Aizuddin Wan Mohd. dan Muhammad Farhan Shafee.

Mahkamah menetapkan 12 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×