10,000 sertai Konvoi Berbasikal Wanita 2017 - Utusan Malaysia

10,000 sertai Konvoi Berbasikal Wanita 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 10 Feb.- Kira-kira 10,000 orang dijangka menyertai Konvoi Berbasikal Wanita 2017 pada 11 Mac ini di Dataran Putrajaya di sini, anjuran Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan sempena Hari Wanita Sedunia 2017.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Rahimi Rejab berkata, sehingga kini, konvoi yang dianjurkan khusus untuk golongan wanita itu telah menerima sebanyak 5,500 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur.

Menurutnya, tiada yuran penyertaan dikenakan dan mereka yang ingin mengambil bahagian boleh membuat pendaftaran secara dalam talian di http://kbw.ppj.gov.my/ppjcyling/t1/index.html atau di laman facebook Konvoi Berbasikal Wanita 2017.

“Konvoi ini terbuka kepada wanita sahaja melibatkan dua laluan iaitu sejauh 10 kilometer (km) dan 25 km. Kayuhan bermula pukul 7 pagi dan semua peserta yang menamatkan kayuhan akan diberikan medal secara percuma.

“Penganjur juga menyediakan lebih 1,000 hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa kereta Proton Saga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis prapelancaran Konvoi Berbasikal Wanita 2017 di sini, hari ini.

Menurut Rahimi, konvoi tersebut juga akan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berjaya mengumpul peserta kayuhan wanita teramai di negara ini yang mana rekod terdahulu hanya 3,000 peserta.

“Penganjuran konvoi ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia Sukan; Tourism Malaysia serta Perbadanan Putrajaya (PPj),” ujarnya.

Konvoi tersebut juga difahamkan bakal dimeriahkan dengan penyertaan artis-artis tempatan seperti Datin Ummi Aida; Erra Fazira; Erma Fatima; Serina Redzwan; Maznah Zulkifli; Linda Onn; Sharifah Haslinda, Vanida Imran; Betty Banafe dan Elfira Loy.

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×