RAUB: Bukit Fraser di sini yang merupakan destinasi pelancongan tanah tinggi popular kini berdepan cabaran keselamatan ekoran kewujudan lokasi tanah runtuh pendam (TRPL).
Ia ibarat ‘bom jangka’ yang berisiko tinggi aktif semula khususnya selepas hujan berterusan dan gangguan terhadap struktur cerun asal.
Difahamkan, sebanyak 139 kejadian tanah runtuh sudah direkodkan berlaku sejak beberapa tahun ini dengan 60 daripadanya menghalang laluan utama.
Faktor cerun curam, litologi yang lemah dan perubahan guna tanah menjadi punca utama kepada geobencana ini. Hujan lebat menjadi pencetus utama yang merendahkan kestabilan cerun sekali gus meletakkan pengguna jalan raya dalam keadaan berisiko tinggi.
Pensyarah Kanan, Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, TRPL merupakan terminologi yang menggambarkan satu-satu kawasan tanah runtuh lama yang boleh kembali aktif apabila diganggu.
Beliau yang juga Felo Bersekutu di Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF-UKM) berkata, tanah runtuh jenis ini sudah ditutupi oleh pokok menyebabkan ciri-ciri jelas cerun tidak stabil dengan mata kasar tetapi mengalami degradasi struktur dan tanah berterusan akibat proses-proses presipitasi serta hakisan.
“Lama-lama TRPL ini berpotensi aktif semula dan membentuk pergerakan tanah susulan. Berdasarkan pemetaan dibuat pada 2019, banyak zon tanah runtuh aktif berlaku di kedua-dua belah jalan Bukit Fraser menaik dan menurun.
“Jika ditanya, banyak atau tidak, runtuhan-runtuhan kecil itu memang banyak. Sebab ia bersifat cetek, setempat dan diburukkan lagi oleh hakisan. Apabila dilihat keseluruhan sistem bukit, Bukit Fraser itu sendiri sebagai kompleks tanah runtuh pendam lama.
“Pemerhatian terbaharu saya untuk perjalanan ke arah Bukit Fraser terdapat lebih 30 lokasi tanah runtuh dan hakisan besar. Apabila mendaki laluan satu arah ke Bukit Fraser, ada lebih kurang tiga ke empat lokasi runtuhan.
“Di Bukit Fraser itu sendiri, beberapa kawasan ada runtuhan aktif terutama ke arah air terjun dan laluan menurun juga terdapat hakisan, runtuhan aktif dikesan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr. Nor Shahidah berkata, mengenal pasti zon tidak aktif dalam tanah runtuh pendam lama merupakan satu cabaran terutamanya disebabkan oleh tumbuhan yang tebal meliputi kawasan ini, menjadikan ia tersembunyi daripada pemerhatian manusia.
“Menurut The International Geotechnical Societies’ UNESCO Working Party on World Landslide Inventory (1990), tanah runtuh yang dikelaskan sebagai tidak aktif ditandai dengan ketiadaan pergerakan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya.
“Walaupun pergerakan dan pembentukan tanah runtuh perlahan, jasad tanah runtuh pendam lama ini tetap berpotensi aktif. Kewujudannya hampir hilang, tersembunyi oleh lulu hawa dan pertumbuhan tumbuhan yang menebal.
Kemudian, tanah runtuh yang lama atau tua juga dilitupi dengan siri runtuhan tanah yang baharu menyebabkan ciri asal tanah runtuh terdahulu tidak kelihatan dan semakin mencabar untuk dikesan,” katanya.
TANGANI RISIKO TANAH RUNTUH
Beliau berkata, keselamatan cerun dan kestabilan tanah di kawasan tanah tinggi seperti Bukit Fraser perlu diberi perhatian serius, khususnya dalam konteks pembangunan dan pelancongan lestari.
Katanya, pihak berkuasa serta komuniti setempat digesa melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi sebagai alternatif yang berkesan dan mesra ekosistem bagi menangani risiko tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebarang gangguan ekstrem terhadap landskap semula jadi bukan sahaja meningkatkan kebarangkalian tanah runtuh malah mewujudkan ketidakseimbangan biofizikal di kawasan sekitar.
Katanya, justeru pendekatan berasaskan kejuruteraan wajar dilaksanakan secara minimum, bergantung kepada keperluan dan tahap sensitiviti cerun.
“Antara langkah yang disyorkan termasuk penstabilan cerun menggunakan tumbuhan berakar dalam seperti vetiver, pembentukan sistem saliran semula jadi mengikut kontur bukit, serta pemulihan zon hutan rizab yang telah terganggu.
“Kaedah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang malah memperkukuh daya tahan cerun terhadap perubahan cuaca ekstrem,” katanya.

KETIADAAN MAKLUMAN RISIKO MENCUKUPI
Pengunjung setia Bukit Fraser yang hanya ingin dikenali sebagai Wan, 48, berkata, suasana di sekitar laluan Bukit Fraser semakin ‘menyeramkan’ bukan kerana elemen mistik tetapi disebabkan keadaan cerun yang tidak stabil dan ketiadaan makluman risiko yang mencukupi.
“Pihak berwajib wajar melaksanakan kerja mitigasi cerun secara menyeluruh dan memasang sistem amaran awal yang berkesan. Kita tidak mahu tragedi berlaku sebelum tindakan diambil.
“Pihak berwajib perlu melakukan pemetaan risiko secara berkala meningkatkan pemantauan cerun dan maklumat geobencana dipaparkan secara terbuka kepada umum, termasuk di platform digital pelancongan,” katanya.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui sebelum ini dilaporkan mendakwa Bukit Fraser dianggap ‘bandar hantu’ oleh pelancong yang kurang gemar melancong ke sana atas faktor keselamatan.
Beliau mendakwa, pusat peranginan tanah tinggi itu yang terkenal dengan jolokan ‘The Little England’ tidak lagi menjadi pilihan utama susulan kekerapan kejadian tanah runtuh.
PANTAU CERUN, PAPAR MAKLUMAT AWAM
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Dr. Muhamad Rusdi Ahmad Rusmili berkata, pihaknya bersetuju dengan keperluan untuk memantau kestabilan dan keselamatan cerun serta jalan yang menghubungkan Bukit Fraser dengan kawasan sekitar dan melakukan pembaikan jika perlu.
Jelasnya, langkah proaktif oleh pihak berkuasa dan operator pelancongan seperti paparan data masa nyata geobencana kepada umum adalah amat perlu demi menjamin keselamatan komuniti dan pelancong-pelancong eko-pelancongan di pusat peranginan tanah tinggi itu.
“MNS Pahang ingin mengingatkan pihak-pihak yang berkenaan akan status Bukit Fraser sebagai Environmental Sensitive Area Rank 1 yang mengehadkan aktiviti pembangunan di kawasan tersebut hanya pada aktiviti pendidikan, penyelidikan dan ekopelancongan.
“Sebarang perancangan untuk kerja menaik taraf dan pembaikan cerun dan jalan perlu dikaji secara menyeluruh untuk memastikan kerosakan minimum pada ekosistem di Bukit Fraser dan memastikan alam sekitar di situ sentiasa terpelihara.
“MNS Pahang juga berharap agar aktiviti pembangunan di Bukit Fraser dihadkan untuk mengurangkan risiko dan mengelak kejadian tanah runtuh di lokasi tersebut,” katanya.-UTUSAN.










