Kebajikan murid jadi keutamaan KPM

Kebajikan murid jadi keutamaan KPM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebajikan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Pelaksanaan program tersebut bertujuan membantu murid sekolah rendah terutama dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah mendapat makanan tambahan seimbang dalam membantu tumbesaran fizikal dan mental pelajar.

KPM dalam kenyataan kepa­da Utusan Malaysia berkata, be­berapa langkah penambahbaik­an telah dilaksanakan untuk program tersebut.

Antaranya pemberian susu setiap hari persekolahan bersama makanan RMT mulai tahun 2022.

Penetapan menu ditetapkan mematuhi senarai menu diluluskan Kementerian Kesihatan.

“Kementerian turut melaksana kadar baharu RMT iaitu RM3.50 di Semenanjung Malaysia dan RM4 Sabah dan Sarawak serta Labuan berkuatkuasa 6 November 2022 dan harga itu bertambah RM1 berbanding kadar lama.

“Dengan pelaksanaan kadar baharu, ia dijangka dapat mengimbangi kenaikan harga pasaran bahan mentah sekaligus membantu meringankan beban kewangan pembekal RMT dalam menyediakan makanan dengan kuantiti dan kualiti berdasarkan menu ditetapkan,” katanya di sini, semalam.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 20 menu diberi kepada pe­ngusaha kantin sekolah bagi 700,000 penerima RMT seluruh negara perlu disemak semula.

Dengan kenaikan harga barang, pe­ngusaha kantin sekolah tidak dapat menyediakan hidangan lengkap berkhasiat pada harga RM3.50 bagi Semenanjung Malaysia dan RM4 bagi Sabah dan Sarawak.

Presiden Persatuan Pe­ngu­saha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khai­ruddin Hamzah berkata, peningkatan harga mentah pada ketika ini menyebabkan keuntungan pe­ngusaha kantin merosot.

Dalam pada itu, KPM turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas Program RMT susulan Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 29/2024 bertarikh 9 Oktober lalu dan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia Bil.15/2024.

“Sebagai menyusul keputusan tersebut, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) telah melaksanakan bengkel dan mesyuarat bagi menubuhkan Pasukan Petugas Khas Program RMT.

“Hasil daripada bengkel dan mesyuarat, terdapat dua jawatankuasa dalam Pasukan Petugas Khas Program RMT iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Induk bertindak sebagai pembuat keputusan peringkat KPM dalam penambahbaikan berkaitan Program RMT dengan dipengerusikan Datuk Ruji Ubi sebanyak dua kali setahun.

“Manakala fungsi Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan Pengarah BPSH adalah sebagai perancang dan pelaksana dalam penambahbaikan berkaitan Program RMT yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Induk.

“Di samping itu jawatankuasa ini juga turut mengenalpasti isu dan masalah dihadapi program RMT, menilai pelaksanaan program RMT dan membangunkan strategi bertujuan untuk menilai serta menambah baik program RMT,” jelasnya

Kenyataan itu menambah, jawatankuasa berkenaan turut melaksanakan penambahbaikan dalam pengoperasian program RMT berdasarkan dapatan dan isu hasil daripada pemantauan serta hubungan kolaboratif dengan pelbagai agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan.

“Pasukan Petugas Khas Program RMT akan melaksanakan pemantauan bermula minggu kedua Januari ini.

“Pelaporan awal akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 1 Mac 2025,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN