ANKARA: Russia akan meneruskan pembabitannya dalam perjanjian membenarkan eksport bijirin dari Ukraine, sekali gus mengubah pendirian sebelum ini yang dikhuatiri akan meningkatkan risiko kekurangan makanan global.
Russia membuat keputusan itu selepas Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu melancarkan proses eksport bijirin Ukraine selama beberapa hari tanpa pembabitan Russia.
Kementerian Pertahanan Russia memberi alasan bahawa perubahan pendirian itu disebabkan pihaknya mendapat jaminan Ukraine untuk tidak menggunakan koridor bijirin Laut Hitam dalam operasi tenteranya bagi menentang Russia.
“Persekutuan Russia mengambil kira jaminan yang diterima ketika ini sebagai mencukupi, dan akan kembali melaksanakan perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kyiv tidak mengulas perkara itu, namun sebelum ini menafikan ada menggunakan koridor perkapalan itu bagi melancarkan serangannya.
Perjanjian bijirin yang dicapai tiga bulan lalu itu berjaya mengurangkan krisis makanan global selepas Russia menghentikan sekatan terhadap Ukraine, negara pembekal utama bijirin dunia.
Harga gandum, kacang soya, jagung dan sawi turun mendadak di pasaran global selepas pengumuman Russia untuk menggantung perjanjian eksport bijirin itu, yang mencetuskan kebimbangan berhubung peningkatan harga komoditi makanan itu.
Pada masa sama, syarikat insurans menangguhkan perjanjian jaminan baharu, sekali gus memberi bayangan bahawa aktiviti perkapalan mungkin dihentikan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, memuji Turkiye dan PBB yang memastikan aktiviti perkapalan terus bergerak keluar dari pelabuhan Ukraine bersama kargonya selepas Russia menggantung pembabitan dalam perjanjian berkenaan, Sabtu lalu.
Dalam satu temu bual dengan media ATV, Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, memaklumkan ada berbincang dengan Zelenskiy untuk menghantar bijirin ke negara Afrika.
Sebelum ini, Presiden Russia, Vladimir Putin, mencadangkan supaya bijirin dihantar ke beberapa negara tertentu terlebih dulu seperti Djibouti, Somalia dan Sudan yang amat memerlukannya ketika ini. – REUTERS