Ramai kalangan pelajar sekolah dan remaja masih belum sedar mengenai penyakit jangkitan kelamin, Hepatitis C dan HIV. Mereka yang aktif dalam hubungan intim perlu lebih berwaspada dengan gejala penyakit ini.
Antara gejala berkaitan penyakit kelamin adalah pengeluaran cecair atau lendir luar biasa daripada alat kelamin. Sakit ketika kencing atau ketika bersama pasangan, ruam atau luka pelik di kawasan alat sulit.
Gejala lain adalah kuning pada mata, kulit atau keletihan luar biasa.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Hulu Langat, Dr. Aishah Abbas berkata, jenis penyakit kelamin boleh dialami akibat gaya hidup bebas dalam kalangan remaja adalah Gonorrhea (kencing nanah), sifilis dan HIV/AIDS.

“Gonorrhea berlaku akibat jangkitan bakteria (Neisseria gonorrhoeae) yang menular melalui hubungan seksual.
“Wanita yang dijangkiti akan mengalami tanda keluar lendir kekuningan atau hijau daripada faraj, pendarahan antara haid, sakit ketika kencing atau buang air besar, gatal pada alat kelamin atau dubur, sakit bawah perut atau semasa bersama pasangan, demam atau jangkitan tekak.
“Tanda pada lelaki pula adalah keluar cecair kekuningan atau hijau daripada zakar, rasa terbakar ketika kencing, gatal pada dubur dan bengkak atau radang pada zakar.
“Bagi lelaki, tanda akan muncul antara dua hingga tujuh hari manakala wanita pula dua hingga 30 hari selepas jangkitan,” terangnya.
Sifilis pula berpunca daripada jangkitan bakteria (Treponema pallidum) yang menular melalui hubungan seksual atau luka terbuka. Tanda jangkitan mengikut peringkat.
Tanda primary (awal) adalah luka kecil tidak sakit (chancre) pada alat kelamin, mulut atau dubur.
Tanda peringkat sekunder adalah ruam di tapak tangan atau kaki, demam dan sakit tekak. Penyakit yang terpendam atau latent pula tidak menunjukkan gejala tetapi bakteria masih aktif.
Gejala peringkat lebih tinggi pula apabila berlaku serangan ke otak, jantung, saraf dan tulang yang boleh membawa maut manakala peringkat kongenital (bayi), bayi lahir dengan kecacatan akibat jangkitan dari ibu.
Hepatitis C dan HIV
Hepatitis C berpunca akibat jangkitan virus (HCV) yang menyerang hati dan boleh membawa kepada sirosis atau kanser hati.
Tanda-tanda umum adalah demam ringan atau kerap selesema.
“Pesakit mengalami gejala lesu dan cepat letih,berpeluh waktu malam, mata atau kulit menjadi kuning (jaundis), air kencing berwarna gelap, sakit perut atau perut membengkak. Gejala lain adalah hilang selera makan, loya dan susut berat badan,” jelasnya lagi.
Dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ramai pesakit tidak mengalami simptom awal.
“Golongan berisiko iaitu melakukan hubungan bebas juga berisiko dijangkiti virus HIV dan antara gejala biasa HIV adalah kerap mual, muntah, sakit kepala dan demam.
“Virus ini memusnahkan sel-sel darah putih yang berperanan melawan jangkitan, menyebabkan sistem imun lemah.
“Gejala lain seperti cepat letih, bengkak kelenjar, mengalami ruam pada kulit, sakit sendi, otot atau tekak dan mengalami penurunan berat badan.
“Kebanyakan pesakit juga mengalami gejala seperti flu tetapi sesetengahnya tidak mengalami gejala ini. Gejala lebih serius atau berpenjangan mungkin tidak dialami selepas seseorang itu dijangkiti,” katanya.
Justeru, sekiranya aktif seksual dan mengalami tanda-tanda ini, segera lakukan ujian saringan STI atau jika ada tanda mencurigakan.
Dalam pada itu, menggunakan kondom dengan betul setiap kali hubungan boleh mencegah risiko jangkitan penyakit kelamin.
Hubungan seks rambang boleh meningkatkan risiko jangkitan. Rawat segera dan bawa pasangan untuk diperiksa.
Dr. Aishah ditemui pada Konvensyen Program Sihat Tanpa AIDS (Prostar) 2.0 Sekolah Menengah sekitar Hulu Langat di Bangi, baru-baru ini.
Program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bangi, Shahredzan Johan.
Prostar diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberikan pengetahuan dan menanamkan sikap hidup sehat, terutama terkait pencegahan HIV/AIDS dalam kalangan remaja.
Program ini melibatkan remaja sebagai agen perubahan untuk menyebarkan pesan kesehatan kepada teman sebaya mereka dengan konsep ‘Oleh Remaja, Melalui Remaja, Untuk Remaja.’
“Prostar diperkenalkan sejak 1995 dan dilancarkan pada 24 November 1996. Konteks Prostar adalah oleh remaja kepada remaja. Ia lebih berkesan apabila remaja bersama rakan mereka menyampaikan maklumat mengenai tingkah laku berisiko dan bagaimana menanganinya,” katanya.
Tambahnya, awal tahun lalu pelbagai aktiviti dijalankan antaranya dua siri ‘Taining of trainer’.
Siri pertama pada awal tahun membabitlan latihan 80 kaunselor seluruh sekolah menengah daerah Hulu Langat manakala siri kedua adalah aktiviti di Lembah Pangsun membabitkan 40 belia daripada lima universiti.
Lawatan ke 20 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah di seluruh Hulu Langat serta dua tahfiz turut dijalankan selain melantik duta Prostar untuk menyebarkan maklumat risiko jangkitan penyakit kelamin dan HIV.
Rawatan untuk penyakit kelamin (STI) dan HIV bergantung kepada jenis jangkitan. STI bakteria dan parasit seperti klamidia, gonorea, dan sifilis boleh dirawat dengan antibiotik.
HIV dan jangkitan virus lain seperti herpes tidak boleh disembuhkan tetapi gejalanya boleh dikawal dengan ubat antivirus.
Rawatan ini mengurangkan risiko penularan dan membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang sihat.- UTUSAN










