Sejarah dan maruah bahasa Melayu dalam novel Hambat Martabat

Sejarah dan maruah bahasa Melayu dalam novel Hambat Martabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Novel Hambat Martabat yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan berlatar belakangkan Sejarah Melaka membawa tuah kepada Dr. Hanita Hassan apabila terpilih sebagai pemenang dalam Sayembara Novel Futuristik anjuran GAPENA-DBP.

Novel Hambat Martabat mampu digerakkan melalui pengalaman dan pemerhatian sendiri penulis yang dijana bagi menghasilkan karya yang berkesan.

Perjuangan bahasa yang melalui liku-liku mencabar termasuk melalui proses mahkamah dan akhirnya memihak kepada Dr. Asri Fateh dalam novel ini.

Hambat Martabat adalah tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian semakin dipandang enteng.

Selepas 68 tahun negara merdeka, peranan bahasa Melayu semakin kurang fungsinya.

Malahan tidak kurang juga individu tertentu yang menganggap mereka yang bertutur menggunakan bahasa Melayu lebih rendah tarafnya berbanding dengan orang yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Nilai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin dipinggirkan. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan negara juga sudah mula dipertikaikan oleh golongan cendekiawan.

Justeru dengan situasi yang dangkal ini, tidak mustahil suatu ketika, akan muncul seorang adiwira pejuang bahasa yang tampil memuktamadkan bahasa Melayu yang semakin longlai di tanah air sendiri.
“Pengalaman berdamping rapat dengan pemimpin tertinggi memberi ilham kepada saya menggarap naratif berdasarkan senario biasa yang berlaku dalam pentadbiran dan politik negara, terutama dalam merebut jawatan penting seperti yang berlaku dalam Hambat Martabat,” kata Hasnita.

Watak Dr. Asri Fateh yang diketengahkan di dalam novel Hambat Martabat adalah berdasarkan sejarah perjuangan tokoh-tokoh yang pernah dipenjarakan kerana perjuangan masing-masing seperti di mukasurat 18 hingga 22.

“Sepotong ayat tulisan Tan Malaka, seorang penulis prolifik dan pejuang kebangsaan Indonesia, yang juga seorang guru dan ahli falsafah bahawa – “Barang siapa mengkehendaki kemerdekaan buat umum, segenap waktu ia harus siap sedia dan ikhlas untuk menderita kehilangan kemerdekaan diri sendiri. Siapa yang ingin merdeka, ia harus siap dipenjarakan,” ujarnya.

Tokoh wartawan A.Samad Ismail (Allahyarham) pernah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tulisannya membebaskan minda rakyat yang ditawan borjuis politik selepas merdeka.

Begitu juga Nelson Mandela, aktivis anti apartheid yang ditahan selama 27 tahun kerana perjuangannya.

Sebagai contoh, demonstrasi yang berlaku dalam negara dekad ini dilihat sebagai satu protes politik iaitu satu bentuk partisipasi di luar politik formal atau tindakan politik secara tidak langsung untuk mempengaruhi keputusan politik.

Watak-watak utama yang mendukung Hambat Martabat adalah berkisar kepada dunia kewartawanan yang dilalui oleh Hanita.

Penulis ini pernah bertugas sebagai wartawan di beberapa berapa rumah penerbitan seperti TV3, Suara Melaka (akhbar tabloid bulanan kerajaan negeri Melaka), Mingguan Melaka dan Melaka Hari Ini.

Selain itu, novel yang berlatar belakangkan Pulau Upeh telah dijadikan landasan utamanya dalam merungkaikan jalan cerita Hambat Martabat.

Ketika ditanya kenapakah persekitaran Pulau Upeh mendatangkan ilhamnya menulis novel ini, beliau berkata: “Pengalaman bekerja di Pulau Upeh benar-benar memberikan saya ilham dan bahan untuk berkarya dan digarap dalam Hambat Martabat selepas lebih 20 tahun meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya tentang pulau berkenaan,” terangnya.

Menurut Hanita lagi, tema yang diketengahkan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya sinonim dengan perjuangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) yang sentiasa memastikan pembangunan bahasa

Melayu diperkasa bukan sahaja di negara ini tetapi juga sehingga ke peringkat global.

“Pulau ini terletak berhampiran dengan muara Sungai Melaka dan pantai Klebang Kecil, iaitu dua laluan utama bot untuk keluar masuk ke daratan. Pulau ini dipenuhi dengan batu laterit yang dikatakan digunakan oleh Portugis untuk membina kota Melaka sewaktu penjajahannya pada 1511,” ujarnya.

Hanita menambah, sekiranya kita menyingkap sejarah zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 dan 16, dalam satu-satu masa terdapat lebih 2,000 buah kapal berlabuh di pelabuhannya. Keluasan pelabuhannya mencakupi sehingga ke Pulau Upeh.

“Saya membayangkan sekiranya Melaka kembali membangunkan pelabuhannya, Pulau Upeh juga akan menerima tempiasnya,” terangnya lagi.

Hanita ialah bekas Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM) pada 2014 dan menerajui persatuan itu hanya beberapa bulan sahaja. Beliau yang minat menulis banyak menghasilkan karya sastera seperti sajak, cerpen, skrip drama dan novel.

Beliau juga digelar penulis sayembara – maksudnya setiap kali sayembara penulisan yang diadakan, beliau akan membawa pulang dengan kemenangan dan bukan dengan tangan kosong.

“Sebagai penulis kita tidak boleh mengukur kemampuan sendiri dan segalanya adalah anugerah daripada Ilahi.Sebagai penganut beragama Islam, kita disarankan bangun sepertiga malam dan bertahajud kepada Allah SWT dan meminta daripada-Nya,” ujarnya.

Katanya, proses yang sama dilakukannya setiap kali menggarap novel kerana pemikiran kita di waktu dinihari amat luar biasa dan hasil penulisan tidak terjangkau dek fikiran.

“Saya melihat industri ini sudah dilambakkan dengan antologi puisi dan cerpen dan sudah sampai masanya para penulis menghasilkan lebih banyak karya berbentuk novel untuk watak pembaca,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×