KUALA LUMPUR: China memuji kemajuan terbaharu hubungan dua hala dengan ASEAN, khususnya melalui Perjanjian Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) 3.0 yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperluas perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi serantau.
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, perjanjian itu bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu kepada kedua-dua pihak, malah memperkukuh kedudukan ASEAN dan China sebagai ‘enjin pertumbuhan utama’ di tengah ketidaktentuan global.
“Perjanjian ACFTA 3.0 adalah simbol kepercayaan, keterbukaan dan keinginan bersama untuk terus memperdalam integrasi ekonomi serantau,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Katanya, peningkatan hubungan ekonomi ini menjadi bukti rantau Asia mampu mencipta kestabilan dan kemakmuran bersama tanpa tunduk kepada tekanan geopolitik dan dasar perlindungan perdagangan kuasa luar.
“Jika kita berpecah dalam menghadapi politik kuasa besar dan ‘pembulian ekonomi’, kita bukan sahaja tidak akan memperoleh manfaat, malah berisiko dikawal oleh pihak luar.
“Semakin mencabar keadaan dunia, semakin penting bagi kita untuk bersatu dan memperkukuh kekuatan sendiri,” katanya.
Li Qiang berkata, China komited berganding bahu dengan ASEAN dalam memelihara keamanan serantau dan memastikan ekonomi Asia terus berkembang sebagai zon pertumbuhan yang stabil dan berdaya saing.
“Kami bersedia memperkukuh kerjasama praktikal dalam bidang tenaga hijau, ekonomi digital, infrastruktur dan rantaian bekalan serantau. Hubungan kita bukan sekadar perdagangan, tetapi perkongsian nasib dan masa depan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia atas penganjuran sidang kemuncak yang disifatkan berwibawa dan teratur, serta menyatakan keyakinan Malaysia akan terus memainkan peranan penting sebagai jambatan antara ASEAN dan China.










