RIYADH: Bagi umat Islam, peluang menjejakkan kaki ke tanah suci perlu digunakan sebaik mungkin bagi mendapatkan ibadah haji mabrur.
Arong Samae dari wilayah Narathiwat, selatan Thailand memberitahu, dia pernah berniat bahawa jika dia berpeluang menunaikan haji pada tahun ini, maka dia akan melakukan umrah setiap tahun.
“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan dan saya tidak dapat menahan air mata apabila melihat Kaabah di depan mata buat pertama kali.
“Perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata dan demi Allah, saya bersyukur kerana diberi peluang jejakkan kaki ke tanah suci,” katanya.
Arong merupakan 5,885 jemaah Thailand yang dijemput ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Sebelum pandemik Covid-19, kuota yang diberikan kepada Thailand untuk menghantar jemaah haji adalah seramai 13,000 orang.
Selain itu, Arong juga memaklumkan semua urusannya di tanah suci dipermudahkan dengan perkhidmatan cekap yang disediakan Arab Saudi.
“Kerajaan Thailand dan Arab saudi menyediakan perkhidmatan haji yang sangat cekap dan sebagai jemaah, saya berpuas hati dengan layanan yang diberikan.
“Saya ingin berdoa di depan Kaabah supaya kami berpeluang dijemput sekali lagi ke rumah Allah ini,” ujarnya.
Seorang lagi jemaah dari Thailand, Mamu Kayah datang ke Mekah bersama isterinya untuk menunaikan haji tahun ini.
Katanya, perasaan setiap kali menjejakkan kaki tanah suci sentiasa dipenuhi rasa kesyukuran dan kegembiraan yang sukar diucapkan.
“Tahun ini, sudah tiga kali saya diberi peluang menunaikan haji dan setiap kali melihat Kaabah, perasaan itu benar-benar bersyukur dan gembira.
“Walau di mana anda pergi melancong dan disajikan dengan pemandangan yang cantik, perasaan itu tidak akan sama setiap kali anda melihat Kaabah.
“Peluang yang ada ini akan saya gunakan sebaik mungkin kerana kali ini mungkin ibadah haji saya yang terakhir,” katanya yang berasal dari Yala.