GAZA: Serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Gaza yang mengorbankan lebih 500 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak disifatkan sebagai insiden terburuk di rantau itu sejak ketegangan memuncak 7 Oktober lalu.
INSIDEN TERBURUK
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan bom paling berdarah itu berlaku di perkarangan Hospital Arab al-Ahli kelmarin.
Puluhan mayat yang berlumuran darah dilihat bergelimpangan akibat serangan kejam itu dengan waris yang masih terkejut tak henti menangis dan menjerit ketika cuba mengenal pasti ahli keluarga mereka.
“Kami sedang menjalankan usaha menyelamatkan nyawa di dalam hospital. Tiba-tiba terdengar letupan kuat dan saya melihat siling jatuh di bilik pembedahan.
“Hospital tidak sepatutnya dijadikan sasaran perang. Pertumpahan darah ini mesti dihentikan. Cukup-cukuplah menyeksa penduduk yang tidak berdosa,” kata doktor badan amal perubatan Doctors Without Borders (MSF), Ghassan Abu Sittah.
Hospital itu dilaporkan sesak ketika kejadian kerana turut berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi ribuan penduduk Palestin yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
Jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan udara itu sebagai tindakan pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan.
Abbas dilaporkan turut menarik diri daripada mesyuarat yang dijadualkan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di Jordan selepas pemimpin itu tiba di Israel semalam, menyebabkan Raja Jordan, Raja Abdullah II kemudian membatalkan usaha tersebut.
Tentera Israel menafikan mereka bertanggungjawab terhadap serangan udara itu sebaliknya menuduh pengeboman berkenaan berpunca daripada pelancaran roket yang gagal oleh kumpulan bersenjata Palestin.
DUNIA KECAM
Serangan tidak berperi kemanusiaan itu mencetuskan kecaman global serta protes kemarahan di seluruh dunia.
Ribuan penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di luar kedutaan Britain dan Perancis di Teheran susulan serangan itu.
Protes besar-besaran turut diadakan di kedutaan Israel di Turkiye dan Jordan serta kedutaan AS di Lubnan.
Rakaman televisyen menunjukkan bantahan juga diadakan di bandar Taiz di barat daya Yaman, ibu kota Maghribi dan Iraq.
Dalam satu kenyataan, kementerian luar Jordan mengutuk insiden itu dan menekankan keperluan untuk perlindungan antarabangsa terhadap orang awam Palestin selain usaha menamatkan pertempuran.
Raja Abdullah II berkata, pengeboman Israel ke atas hospital Gaza adalah jenayah perang yang tidak boleh didiamkan begitu sahaja.
Kerajaan Mesir turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan mencegah pelanggaran peraturan perang daripada terus berlaku dalam konflik di Gaza.
Sementara itu, Kementerian luar Qatar pula menyifatkan perluasan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza termasuk hospital, sekolah dan pusat penduduk lain merupakan tindakan berbahaya yang harus disekat segera.
Ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit menegaskan pemimpin antarabangsa wajib menghentikan tragedi ini dengan segera sebagai tindak balas terhadap serangan berkenaan.
“Fikiran jahat apakah yang wujud hingga sengaja membedil hospital dan penduduknya yang tidak berdaya?
“Mekanisme Arab akan mendokumentasikan jenayah perang ini dan penjenayah tidak akan terlepas daripada tindakan mereka,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Kanada, Justin Trudeu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Presiden Iran, Ebrahim Raisi antara yang turut mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan tersebut.
“Membedil hospital yang dipenuhi wanita, kanak-kanak dan orang awam adalah contoh terbaharu serangan Israel yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan paling asas,” kata Erdogan.
Kementerian Luar Russia turut menegaskan Israel harus menyediakan imej satelit jika mendakwa tidak terlibat dalam serangan berkenaan.-AGENSI