PBB iktiraf Taliban jika henti sekat kebebasan wanita

PBB iktiraf Taliban jika henti sekat kebebasan wanita

DUA wanita Afghanistan yang lengkap memakai burka berjalan di depan anggota keselamatan Taliban di Jalalabad. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Pemerintahan Taliban mungkin tidak akan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai kerajaan yang sah jika terus menyekat kebebasan dan hak golongan wanita di Afghanistan.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan, Roza Otunbayeva memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa Taliban meminta 192 negara anggota badan itu untuk mengiktiraf kepimpinan mereka tetapi pada masa yang sama bertindak bertentangan dengan nilai-nilai utama yang dinyatakan dalam Piagam PBB.

“Saya berterus terang tentang halangan yang mereka lakukan terhadap kepimpinan mereka sendiri melalui dekri dan sekatan yang dibuat, khususnya terhadap wanita dan gadis remaja,” tegas Otunbayeva merujuk perbincangan dengan kerajaan Taliban.

SEKATAN JEJAS BANTUAN ASING

Taliban merampas kuasa di Afghanistan pada Ogos 2021 ketika tentera Amerika Syarikat (AS) AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada pada minggu-minggu terakhir pengunduran dari negara itu selepas peperangan lebih dua dekad.

Dekri Taliban yang mengehadkan penyertaan kanak-kanak perempuan dan wanita memberi kesan terhadap bantuan asing kepada negara itu ketika rakyatnya menghadapi krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Taliban pada mulanya menjanjikan peraturan yang lebih sederhana berbanding semasa pertama kali memerintah dari 1996 hingga 2001 tetapi mula menguatkuasakan sekatan ke atas wanita dan gadis sejurus selepas pengambilalihan pada 2021.

Wanita dilarang daripada kebanyakan pekerjaan dan tempat awam, termasuk taman, tempat mandi dan gim manakala kanak-kanak perempuan dilarang daripada pendidikan melebihi gred enam.

Walaupun rayuan dibuat oleh PBB, Otunbayeva melaporkan tiada perubahan yang berlaku terhadap sekatan itu, termasuk larangan pada April lalu ke atas wanita Afghanistan yang bekerja untuk PBB.

“Larangan itu merupakan pencabulan kewajiban Afghanistan sebagai negara anggota PBB untuk menghormati keistimewaan dan imuniti PBB dan pegawainya, termasuk wanita Afghanistan yang bekerja untuk kita,” tegasnya.

Otunbayeva yang juga bekas Presiden Kyrgyzstan, mengulangi bahawa PBB akan meneruskan pendirian bahawa kakitangan kebangsaan wanita tidak boleh digantikan oleh kakitangan lelaki seperti dicadangkan pihak berkuasa Taliban.

Pada April lalu, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara meluluskan resolusi yang menyeru Taliban untuk segera menghentikan kekangan melampau yang dikenakan ke atas wanita dan gadis selain mengutuk larangan wanita Afghanistan bekerja untuk PBB yang belum pernah berlaku dalam sejarah pertubuhan itu.

RAKYAT BERDEPAN KEBULURAN

Berdasarkan perbincangan dengan penduduk di seluruh Afghanistan, Otunbayeva berkata, jelas dekri Taliban sangat tidak popular di kalangan penduduk Afghanistan dan merugikan pemerintah negara itu daripada memperoleh pengiktirafan domestik dan antarabangsa.

Malah tindakan Taliban itu bukan sahaja mendatangkan penderitaan kepada separuh penduduk mereka malah turut merosakkan ekonomi negara itu.

Dalam satu penilaian politik Otunbayeva memberitahu PBB bahawa rejim Taliban kekal terpencil dan autokratik dengan pihak berkuasa pusat yang tidak bertanggungjawab dan jawatan kerajaan dipegang kaum lelaki yang hampir keseluruhannya dari Pashtun.

Jelasnya lagi, walaupun ekonomi Afghanistan kekal stabil, keseimbangannya masih rendah apabila 58 peratus isi rumah berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas keluarga dan PBB terus menyediakan bantuan kepada 20 juta orang yang memerlukan.

Beliau berkata, penghantaran wang tunai yang diperlukan untuk operasi kemanusiaan PBB dijangka berkurangan apabila pembiayaan penderma menurun, sekaligus menjejaskan kestabilan kewangan Afghanistan.

Pertubuhan kemanusiaan Save The Children berkata, wabak belalang berskala besar berpotensi memusnahkan 1.2 juta tan gandum, kira-kira satu perempat daripada hasil tuaian tahunan negara itu.

Serangan itu datang ketika lapan juta rakyat Afghanistan terputus bekalan makanan sejak dua bulan lalu akibat kekurangan dana dengan lebih 15 juta penduduk diunjurkan menghadapi krisis kebuluran dalam tempoh lima bulan akan datang.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya