Tentera Israel tahan 19 anggota Jihad Islam Palestin - Utusan Malaysia

Tentera Israel tahan 19 anggota Jihad Islam Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel meningkatkan serangan terhadap Jihad Islam hari ini dan mengumumkan penahanan 19 anggota kumpulan itu di Tebing Barat, di samping melancarkan serangan menyasarkan kubu mereka di Gaza.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel memaklumkan anggota dan ejennya dari agensi keselamatan dalaman, Shin Bet, menjalankan operasi di beberapa lokasi di Tebing Barat bermatlamat ‘menahan pengganas Jihad Islam’.

Katanya, daripada 20 individu yang ditahan dalam operasi itu, 19 daripadanya adalah anggota kumpulan Jihad Islam.

Pertempuran terkini yang semakin tegang di Gaza tercetus selepas Israel menahan Bassem al-Saadi di Tebing Barat, seorang komander kanan Jihad Islam yang didakwa mendalangi beberapa serangan.

Israel mendakwa pejuang Jihad Islam di Gaza merancang serangan di selatan Israel sebagai tindak balas penahanan Bassem, sekali gus memaksanya melancarkan serangan balas.

Di Semenanjung Gaza, jet Israel menyerang lokasi kubu Jihad Islam ketika serangan roket melanda selatan Israel, beberapa jam selepas serangan udara Israel di kawasan itu membunuh sekurang-kurangnya 11 individu, termasuk seorang anggota kanan kumpulan itu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Bunyi letupan kedengaran di Bandar Gaza, dengan kepulan asap menjulang dari tingkat tujuh sebuah bangunan, manakala video tentera Israel menunjukkan serangan menghentam tiga menara kawalan, dipercayai menempatkan pejuang Jihad Islam.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan wanita berusia 23 tahun adalah antara yang terbunuh di Gaza, tanpa memperincikan sama ada mangsa ialah pejuang atau orang awam.

Terdahulu, tentera Israel menganggarkan kira-kira 15 anggota militan terbunuh, dan puluhan lagi cedera.

Media Israel menunjukkan ruang udara di selatan dan tengah Israel dipenuhi roket yang meletup selepas dipintas sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome (Kubah Besi).

Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke rantau itu, Tor Wennesland, menggesa pelancaran roket itu dihentikan segera, dan meminta semua pihak mengelak daripada meningkatkan ketegangan.

Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz, pula meluluskan perintah mengerahkan 25,000 tentera simpanan jika perlu, manakala tentera Israel mengumumkan ‘keadaan khas’ di negara itu, dengan sekolah ditutup dan pergerakan masyarakat dihadkan dalam lingkungan 80 kilometer (km) dari sempadan.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum, pula menegaskan ‘musuh Israel yang memulakan serangan terhadap Gaza dan melakukan jenayah baharu, perlu membayar harga dan bertanggungjawab sepenuhnya.’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya