RAMALLAH: Pasukan keselamatan Israel menembak mati dua rakyat Palestin dalam satu serbuan di utara Tebing Barat hari ini.
Polis sempadan Zionis memaklumkan, anggotanya memasuki kem pelarian Jenin bagi menahan seorang suspek yang disyaki melakukan kegiatan keganasan.
“Selepas menahan suspek, beberapa tembakan dilepaskan dari pelbagai arah dan sebagai tindak balas, pasukan kami membalas tembakan itu dan mengenai dua penduduk Palestin” jelas pihak berkuasa Israel.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, dua penduduk Palestin yang maut itu dikenal pasti sebagai Abdullah al-Hosari, 22, dan Shadi Khaled Najm, 18.
Agensi berita Wafa melaporkan, insiden yang menimpa dua lelaki Palestin itu mencetuskan kekecohan dan kemarahan dalam kalangan penduduk di Jenin.
Pada bulan lalu, Zionis menembak mati tiga penduduk Palestin pada waktu siang dalam satu serbuan di Nablus. – AFP