MOSCOW: Kumpulan militan Taliban hari ini memaklumkan pihaknya menguasai 85 peratus wilayah di Afghanistan selepas pasukan tentera asing mula meninggalkan negara itu.
Dalam satu sidang akhbar di Moscow, jururunding Taliban, Shahabuddin Delawar berkata, kumpulan itu ‘bertanggungjawab menjaga’ 85 peratus wilayah di Afghanistan, termasuk 250 daripada 398 daerahnya.
“Semua badan pentadbiran dan hospital yang berada di bawah penguasaan Taliban beroperasi seperti biasa. Kami akan pastikan semua sektor berjalan lancar,” katanya.
Shahabuddin menyatakan, pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu membolehkan Taliban memulihkan semula prinsip Islam di Afghanistan.
“Tentera AS dipaksa keluar dari negara kami, bukannya mereka berundur.
“Kami juga tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan AS untuk tidak menyerang pusat pentadbiran,” ujarnya.
Pada minggu ini, lebih 1,000 anggota tentera Afghanistan lari ke Tajikistan selepas bertempur dengan Taliban di utara negara itu.
Sementara itu, pihak berkuasa Afghanistan berikrar untuk merampas semula semua daerah yang dikuasai Taliban. – AFP










